Monday, 1 October 2012

Diari 3: 'Taking note' atau 'Note taking' ?

Dalam kelas Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar pada petang tadi, saya tertarik dengan satu persoalan yang telah ditimbulkan oleh pensyarah Nigeria yang sangat hiperaktif itu. Walaupun pensyarah ini bukanlah orang Melayu namun beliau mampu berbahasa Melayu. Tetapi masih tidak fasih berbahasa Melayu dengan lancar. Oleh sebab itulah beliau menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam kelasnya.  Semua tugasan individu, kumpulan mahupun pembentangan beliau mahukan dalam bahasa Inggeris! Demikianlah dugaan yang akan dilalui oleh saya dan rakan-rakan ISMP Bahasa Melayu yang telah tersadai di kelas beliau.  T.T

          Kelas pada hari ini dan seterusnya adalah dikhaskan untuk sesi pembentangan tugasan. Pensyarah Nigeria ini akan memilih secara rawak kumpulan yang akan membentang pada setiap kelasnya. Nampaknya kumpulan golongan adam yang bakal membentang pada hari ini. Lega terasa di hati. Sebelum pembentangan bermula, beliau sudahpun menulis taking note dan note taking pada papan putih. Saya dan rakan sekelas yang lain menyangkakan beliau menyuruh untuk mengambil nota daripada pembentangan itu. Mulalah kami menyalin nota yang dibekalkan oleh pembentang yang bertajuk Pelajar sebagai Pembelajar.

          Apabila sampai kepada poin kehadiran pelajar ke sekolah dan kemahuan pelajar untuk menimba ilmu, si pensyarah mula mencelah dan dengan tegasnya terus bertanya apakah perbezaan antara taking note dan note taking. Pada mulanya disangkakan beliau naik berang kerana ada pelajar yang tidak menumpukan perhatian semasa pembentangan. Kemudian ditanya seorang demi seorang perbezaan tersebut. Namun tidak ada jawapan yang memuaskan hati beliau. Kami mula terdiam kerana dia kelihatan sangat serius.

          Akhirnya beliau menerangkan, taking note bermaksud pelajar hanya menyalin nota tanpa memahami nota tersebut manakala note taking bermaksud pelajar memahami nota yang diberikan. Rupanya berkaitan dengan pembentangan pada masa itu. Selain itu, taking note juga dikategorikan sebagai komuniti pelajar yang sedang belajar dan mematuhi arahan tenaga pengajar sepanjang pembelajaran.  Note taking pula sebagai komuniti yang mempunyai kemahuan untuk berada bersama-sama komuniti pembelajar. Nampaknya agak rumit penghuraian kedua-dua frasa ini. (Note taking boleh saja ditakrifkan: mengambil nota. Taking note: nota diambil. Tetapi pengertian ini belum cukup jelas.)

          Di sini kita dapat lihat bagaimana frasa ringkas dalam bahasa Inggeris memerlukan pengertian dan penghuraian yang berjela-jela dalam bahasa Melayu. Kita tahu bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa dunia namun bahasa Melayu juga tidak mustahil untuk menjadi bahasa yang digunakan setaraf dengan bahasa Inggeris suatu hari nanti. Para pejuang bahasa sentiasa berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. Namun pada masa yang sama golongan ini juga perlu bekerjasama dengan tokoh atau ilmuan bahasa untuk menaiktarafkan bahasa ke arah yang lebih moden. Seperti mewujudkan istilah-istilah yang setanding dengan bahasa dunia ini. Agar nanti kita tidak perlu untuk menterjemahkan sesuatu frasa bahasa Inggeris dengan penghuraian yang panjang lebar, tetapi cukuplah adanya istilah bahasa Melayu yang dapat memberikan pengertian yang jelas terhadap sesuatu frasa bahasa dunia ini.

No comments:

Post a Comment