Monday, 1 October 2012

Diari 4: Disebalik Perkataan 'Wajib'


Seperti hari-hari biasa, semasa hendak menaiki tangga, saya akan singgah sebentar di hadapan papan kenyataan maklumat yang terpampang pada dinding blok penghuni kolej Za’ba. Sudah rezeki pada hari ini, terdapat satu kenyataan yang baru sahaja dilekatkan yang boleh menjadi isu untuk saya usulkan di laman ini. Maka terukirlah senyuman hingga ke telinga. J
 

 
          Jika diteliti terdapat banyak penggunaan singkatan perkataan. Berkemungkinan orang yang ditugaskan untuk membuat kenyataan ini mengejar masa ataupun sebagainyalah. Di sini saya ingin memfokuskan penggunaan perkataan wajib. Seingat saya, ini bukanlah kali pertama saya melihat atau mendengar perkataan wajib digunakan untuk mendesak sesuatu kelompok bagi melakukan sesuatu perkara.

          Sebenarnya, penggunaan perkataan wajib digunakan dalam aspek agama. Sekiranya tidak melakukan sesuatu perkara wajib maka mereka akan mendapat dosa dan mendapat azab. Teringat saya kepada seorang pensyarah pada semester pertama yang mengajar kelas Warisan Jawi. Beliau menyatakan tidak boleh menggunakan istilah agama sekiranya bukan berkaitan dengan agama.  Seharusnya perkataan wajib bagi perkara bukan agama perlu digantikan dengan perkataan mesti.

          Penggunaan perkataan ini perlu dibataskan untuk kegunaan agama sahaja. Lihat sahaja dunia pada zaman ini. Perkara wajib dalam agama sudah tidak diendahkan lagi. Inikan pula apabila digunakan untuk menyeru melakukan sesuatu bukan berkaitan agama. Jika telah terbiasa tidak mematuhi sesuatu perkara yang dikatakan wajib dalam hal yang bukan berkaitan dengan agama, tidak mustahil dalam hal agama juga akan terjadi demikian. Oleh itu, bersama-samalah kita renungkan.

No comments:

Post a Comment