Tuesday, 2 October 2012

Diari 5: 'Connect' dalam Pengertian Dialek Terengganu dan Kelantan


Malam adalah waktu yang sentiasa dinantikan oleh seluruh warga Kolej Za’ba kerana inilah waktu yang paling afdal untuk melayari internet dengan tenang dan gembira setelah berhempas pulas berjuang untuk mendapatkan tempat di dalam bas untuk ke kelas di pagi hari. Begitu jugalah saya yang tidak pernah lupa untuk melayari internet apabila malam menjelma. Inilah rutin harian pelajar dan penghuni yang dibekalkan wifi percuma sepanjang masa.

          Namun hari tidak selalunya cerah, kadang-kadang ada mendungnya juga. Oleh sebab ratusan penghuni Kolej Za’ba yang mahu menggunakan wifi setiap malam maka akan wujudlah persaingan sihat di situ. Usaha untuk mendapatkan jaringan wifi akan jelas kelihatan di sini. Kesukaran untuk mendapatkan jaringan yang laju untuk berhubung dengan rakan-rakan pastinya akan membawa kepada marah.

          Perkara yang sama terjadi kepada saya, sering gagal untuk memasuki jaringan wifi. Kawan-kawan serumah yang lain sering bersorak kerana dapat memasuki jaringan tesebut dengan jayanya. Mulalah saya mengeluh kepada rakan-rakan, “Kenapa tak boleh connect ni?”. Sejurus selepas keluh-kesah saya itu, teman serumah dari Terengganu tergelak. Pada mulanya saya tidak mengendahkan gelaknya. Saya kemudian bertanya kepadanya sama ada dia berjaya connect ataupun tidak. Sekali lagi dia tergelak. Saya mula tertanya-tanya, “kenapa gelak? Boleh connect ke tak ni?”. Semakin hebat gelak tawanya. Dengan telinga yang merah, muka serius dan dengan menggunakan nada yang lebih tinggi sedikit saya bertanya lagi, “apa hal ni?”. Melihat keadaan saya yang sedang cuba menahan berang walaupun saya bukan berang sebenarnya, dia pun cuba menenangkan diri dan berhenti ketawa. Ini jawabnya:

          Connect kalau tak sebut betul-betul pengertiannya lain dalam dialek Terengganu dan Kelantan. Lain kali sebutlah [kǝnk] bukan [konk]. Kalau sebut konek bermaksud… alat sulit lelakilah!”

          Terkedu saya mendengar penjelasannya. Hanya anggukan dan senyuman malu yang mampu saya berikan. Akur dengan penjelasannya. Patutlah tergelak sampai pecah perut. Pada masa yang sama saya mempelajari sesuatu yang baru. Ini adalah petanda dan pengajaran bagi saya untuk lebih berhati-hati dalam pertuturan kelak dan cubalah menerima kesukaran dengan redha dan tenang. Jangan sesekali mengeluh agar tidak kena lagi pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment