Thursday, 18 October 2012

Diari 19: Mengimbau Kenangan Lalu


Setiap orang mempunyai kenangan lalu yang tidak dapat dilupakan. Bahkan menjadi pengajaran hingga ke hari ini dan mungkin untuk generasi yang seterusnya. Semasa kecil ibu dan ayah banyak mendidik kita dengan pelbagai cara. Hasil didikan merekalah yang mematangkan kita agar kita boleh menjaga diri kelak. Agar mereka tidak perlu lagi merasa risau terhadap diri kita.

          Semasa kecil dulu ada di antara kita yang sememangnya sungguh nakal, suka kejar ayam, panjat pokok, jolok sarang tebuan dan sebagainya. Namun ibu bapa mempunyai cara mereka tersendiri mengajar anak mereka ini.

Kisah si anak yang suka panjat pokok Jambu

Ayah: Sudah-sudahlah panjat pokok tu Aiman, nanti tak pasal-pasal Aiman jatuh pula. Kalau jatuh nanti patah kaki tau. Tak boleh jalan.

Aiman: Aiman tak mungkin jatuhlah ayah. Aiman kan Superman (cuba menggapai dahan pokok Jambu)

Ayah: Turunlah Aiman, dah tinggi sangat tu. Atas tu banyak kerengga, kena gigit sakit.

Aiman: Apalah ayah ni, Aiman dah cakap Aiman Superman! Aiman tak takut kerengga! Kerengga yang takut Aiman!

(Tiba-tiba dahan yang cuba digapai oleh Aiman patah, Aiman terjatuh sambil menjerit memanggil ayahnya. Aiman menangis kesakitan)

Ayah: (bergegas menuju ke arah Aiman dengan keadaan risau) Sakit Aiman? (sambil memapah Aiman masuk ke dalam rumah)

Aiman: Sakitlah ayah!

Ayah: Eh, Aiman kan Superman, macam mana boleh jatuh pula? Lain kali naiklah lagi Aiman.

Aiman: Ayah jahat!

Ayah: Itulah, lain kali dengarlah cakap ayah. Jangan nak jadi Superman sangat.

Selepas kejadian itu, kemungkinan besar si anak tidak lagi memanjat pokok. Si ayah pandai bermain dengan kata-kata untuk memberi pengajaran kepada anaknya. Kadang-kadang kita hanya perlu menggunakan bicara halus untuk mengajar anak-anak, bukannya dengan kekerasan. Cara ini dikenali sebagai Reverse Psychology ataupun Psikologi Berbalik. Inilah fungsi bahasa kita J

Diari 18: Kanak-kanak yang Pandai Berbahasa


Masih ingat lagikah kes penculikan dan pembunuhan Dirang pada Mac lalu? rupa-rupanya dalang di sebalik semua ini ialah seorang bekas anggota tentera. Ugutan dihantar melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada keluarga Dirang. SMS tersebut pula ditulis sendiri oleh anak seorang bekas anggota tentera itu.


          Lihat, betapa tersusunnya ayat kanak-kanak berusia 11 tahun ini. Walaupun kata nama tidak menggunakan huruf besar tetapi isinya masih boleh difahami. Untuk perkara yang negatif yang berbentuk jenayah pun mereka masih boleh berbahasa dengan betul tapi kenapa tidak dalam perkara yang positif? Walau bagaimanapun, apa yang telah terjadi kepada Dirang sememangnya disifatkan sungguh tidak berperikemanusiaan. Meskipun menggunakan bahasa yang betul, namun hukuman tetap hukuman.

 

 

 

Diari 17: Kita 1Malaysia


Pada pendapat anda, adakah seruan untuk menyemarakkan dasar 1Malaysia sudah berjaya pada hari ini? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Idea ini terlintas semasa saya menaiki bas untuk balik ke kolej sebaik sahaja kelas akhir pada hari ini selesai.

          Apabila melangkah masuk, kelihatan pemandu bas ataupun lebih dikenali sebagai Pak Cik India yang baik hati sedang tidur nyenyak di kerusi barisan hadapan. Rasa sedikit kasihan pun ada juga kerana mungkin juga pak cik ini keletihan memandu dari awal pagi hingga ke petang. Pak cik ini sememangnya dikenali dengan sikap peramahnya kerana beliau sanggup membalas ucapan terima kasih oleh ramai pelajar yang menaiki bas.

          Selepas beberapa minit, pak cik bas ini pun bangun dan terus kembali ke kerusi pemandu, bersedia untuk menjalankan tugasnya semula. Kemudian beliau terus memasang radio dengan volum yang cukup jelas untuk didengar oleh semua pelajar dalam bas. Rupanya radio bahasa Tamil. Terasa bagaikan berada di Negara India pada ketika itu. Kepala pusing kerana tidak memahami sepatah haram pun apa yang diperkatakan.

          Ini bukanlah pertama kali berlaku, malah ada ramai pemandu bas berbangsa India memperdengarkan radio dan lagu-lagu bahasa Tamil yang langsung tidak difahami oleh pelajar berbangsa lain terutamanya saya. Hal ini sentiasa berlaku, mungkin juga tiada yang menegur. Sedangkan yang menaiki bas tersebut majoriti orang Melayu.

          Sewajarnya pasanglah radio bahasa Melayu yang difahami oleh semua. Kerana kita 1Malaysia maka gunakanlah bahasa Kebangsaan kita. J

Monday, 15 October 2012

Diari 16: FAHAM Cikgu!


Cara terbaik yang disangkakan oleh murid-murid untuk mengelakkan cikgu berceloteh panjang lebar:

Situasi 1

Cikgu: Faham murid-murid?

Murid-murid: Faham cikgu!

Cikgu: Bagus murid-murid.

 

Situasi 2

Cikgu: Murid-murid faham?

Murid-murid: Faham cikgu!

Cikgu: Baiklah, apa yang kamu faham?

Murid-murid: Err… (Menggelabah)

 

Situasi 3

Cikgu: Faham murid-murid?

Murid-murid: Tak cikgu. (sambil menggelengkan kepala)

Cikgu: Bahagian mana kamu tak faham?

Murid-murid: Semua cikgu.

Cikgu: ………. Baiklah…… L

 

Situasi 4

Setelah beberapa kali cikgu menjelaskan topik yang sama;

Cikgu: Baiklah murid-murid, sekarang dah faham?

Murid-murid: Tak faham lagilah cikgu.

Cikgu: Tak kan tak faham-faham lagi!? Dah banyak kali cikgu ulang tahu tak… bla… bla… bla…

          Pengajaran di sini, berhati-hati dengan pertanyaan yang melibatkan kefahaman pelajar. Apabila kita boleh mentafsir bahasa tubuh murid-murid maka tidak perlulah kita bertanya lagi kerana ianya boleh menggugat kesabaran kita sendiri sekiranya jawapan yang diberikan tidak seperti apa yang kita harapkan.

Diari 15: Apabila Kelas Batal





Mengapa pelajar gembira apabila kelas dibatalkan? Apabila kelas batal, masa yang ada boleh digunakan untuk balik ke tempat kediaman masing-masing merehatkan minda, melayari laman web dan yang paling disukai ramai ialah tidur. Situasi semasa pengumuman kelas dibatalkan;
Pensyarah: Perhatian kepada semua, kelas pada minggu depan dibatalkan. Oleh itu, gunakanlah masa yang ada untuk menyiapkan tugasan masing-masing.

Pelajar: Laaa, kenapa batal dr.? tak best lah kalau macam tu.

Pensyarah: Tak payahlah tanya kenapa, saya tahu kamu suka kelas batal.

          Kelihatan pensyarah itu sangat memahami karenah pelajarnya. Daripada soalan yang diajukan oleh pelajar, pensyarah sudah boleh mengesan reaksi sebenar pelajar. Kerana apa yang difikirkan oleh seseorang tidak semestinya boleh digambarkan dengan kata-kata tetapi dengan bahasa tubuhnya juga. Tetapi ada juga pensyarah yang agak bijak bermain dengan situasi;

Pensyarah: Esok kelas batal ye semua.

Pelajar: Kenapa pula dr.? Tak suka lah kelas batal. (sambil tersengih-sengih kegembiraan)

Pensyarah: Oh, kalau macam tu, kelas tak jadi batal. Semua kena datang kelas esok.

Pelajar: Alamak! (kecewa)

          Oleh itu, bahasa tubuh perlu digunakan bersesuaian dengan kata-kata yang hendak diungkapkan. Ataupun dengan kata lain, belajarlah menggunakan bahasa tubuh dengan sebaiknya untuk meyakinkan orang lain.


 

Diari 14: Pemandu Bas dan Kita


…Kesinambungan daripada kisah 'Bas dan Pelajar UPSI'…

Semasa hendak keluar dari bas pula ada sesetengah pelajar itu langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada si pemandu bas. Adakah si pemandu bas akan berasa kecil hati? Hanya Tuhan dan dia sahaja yang tahu. Namun ada juga kelompok pelajar yang rajin berterima kasih kepada si pemandu bas yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab:

Pelajar A: Terima kasih pak cik.

Pelajar B: Thank you uncle.

Pelajar C: (ucapan dalam bahasa Tamil)

          Ini merupakan amalan yang baik daripada pelajar yang baik. Kita lihat reaksi si pemandu bas pula:

Pemandu bas A: sama-sama

Pemandu bas B: sama-sama (tersenyum mesra yang sangat mesra sambil merenung kita)

Pemandu bas C: (mengangguk sahaja)

Pemandu bas D: (tidak melayan pelajar)

          Berdasarkan reaksi pemandu bas A, B, C dan D itu mungkin akan timbul pelbagai spekulasi negatif. Kita mungkin akan berfikir bahawa pemandu bas B seorang yang gatal dan pemandu bas D seorang yang sombong. Atau mungkinkah si pemandu bas ini menantikan suatu kelainan daripada ucapan kita, seperti;

Pelajar A, B dan C: Terimalah kuih ini pak cik. J

          Tidak mustahil bukan? Siapa yang mahu tolak rezeki?

Walau apa pun reaksi pemandu bas itu, jadikanlah amalan baik seperti mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas satu amalan yang baik kerana tugas mereka sebenarnya bukanlah mudah seperti yang kita sangkakan.

Diari 13: Bas dan Pelajar UPSI


Seperti hari-hari biasa, pelajar UPSI akan sentiasa mengejar bas untuk ke kelas masing-masing. Di sini semangat juang yang tinggi akan kelihatan dengan jelas sekali sebaik sahaja pintu bas terbuka. Masing-masing berhimpit-himpit, beresak-esakan untuk mendapatkan tempat di dalam bas yang dilengkapi dengan penghawa dingin. Setelah berjaya mendapatkan tempat, berjuang pula untuk keluar dahulu sambil membelakangkan orang-orang yang letih berdiri sepanjang perjalanan. Tanpa mengucapkan terima kasih  apabila dberi ruang dan peluang keluar dahulu dan tanpa mengucapkan maaf apabila memotong barisan pelajar yang sedang berdiri sepanjang perjalanan. Adakah ini sesuatu yang wajar dicontohi? Perkara sedemikian sudah semakin lazim dalam kalangan pelajar UPSI. Sekurang-kurangnya dahulukanlah pelajar-pelajar yang penat berdiri untuk melangkah keluar dahulu sebelum kita yang senang-lenang duduk di bawah penghawa dingin bas melangkah. Bersikap matanglah kerana kita bukan lagi kanak-kanak yang perlu diajar tentang adab tatatertib.

Wednesday, 10 October 2012

Diari 12: Papan Tanda dan Kain Rentang


Papan tanda ataupun kain rentang yang dihias cantik boleh menarik perhatian pemandu, penunggang dan pejalan kaki. Kadang-kadang kenyataan pada papan tanda juga sangat menarik perhatian mereka. Contohnya, kesalahan ejaan dan penggunaan istilah yang jarang digunakan.

 
 
Kesalahan ejaan. Tetapi orang awam masih boleh mentafsir makna yang disampaikan. Kesalahan sedemikian mungkin biasa bagi kita. Mari kita lihat yang luar biasa pula.
 
Kesalahan istilah dapat dilihat dalam arahan di atas. Rasionalnya: tidak mungkinlah kita menggunakan cahaya seperti yang ada pada kamera selepas menggunakan tandas. Flash yang dimaksudkan itu ialah flush.


Rupanya  ada juga yang mampu menjual bumi kan? Pembetulan: Earth à Land

Ada sesiapa yang berani menjual gadis?
Sepatutnya Penjual GadisàGadis Penjual. Kesalahan hukum D-M. Mungkin ada yang boleh tersalah tafsir melihat tawaran pada kain rentang tersebut. Sebab itulah kita mesti berhati-hati dalam penggunaan bahasa untuk memberi arahan, amaran mahupun tawaran.

Tuesday, 9 October 2012

Diari 11: Bahasa Seiring Teknologi


Bahasa kini  bergerak seiring dengan teknologi. Contohnya dalam penggunaan Facebook.
 

Facebook versi bahasa Inggeris

Kita lihat versi bahasa ibunda kita pula:

 

Nampaknya, tidak sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu. Masih ada terselit bahasa Inggeris. Adakah ini percampuran kod? Ya! Maklumlah Facebook bukan diasaskan oleh orang Malaysia. Bayangkan jika kita anak jati Malaysia mengasaskan Muka Buku ini:
Facebook versi Negeri Sembilan
 
 

Facebook versi Kedah

          Kreatif bukan orang-orang kita mengubahsuai Facebook dalam pelbagai versi? Malah ada banyak versi lagi yang terdapat di Malaysia menggunakan dialek yang berbeza mengikut negeri mereka. Inilah usaha orang-orang kita untuk memartabatkan dialek masing-masing agar tidak hilang ditelan zaman meskipun dunia semakin moden. Tahniah!

Monday, 8 October 2012

Diari 10: Apabila si Jejaka Mengusik


Cara si jejaka-jejaka yang kurang tampan menarik perhatian si anak dara yang sedang lalu dan tidak endah akan kehadiran jejaka-jejaka ini adalah dengan mengeluarkan bunyi: “Peewit!”. Apakah reaksi si anak dara? Mungkinkah dia perasan, teruja atau gembira? Ataupun dia geram, menyampah atau ingin melemparkan batu ke arah jejaka-jejaka ini?

          Dahulunya cara ini sangat popular dalam kalangan jejaka-jejaka yang boleh dikatakan kurang laku. Dengan harapan mereka menemui jodoh apabila membuat usikan sedemikian. Namun pada masa ini, dunia semakin canggih, tidak perlu “peewit” lagi, malah semuanya mudah dengan hujung jari sahaja. Adanya Facebook, Tweeter dan tidak ketinggalan juga telefon bimbit yang canggih, semuanya membantu untuk menarik perhatian si dia yang menawan.

          Walaupun dunia sudah canggih, namun tidak dinafikan usikan yang digunapakai dahulu masih diamalkan sekarang. Malah dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah rendah. Pernah sekali saya terlihat dan terdengar pelajar lelaki sekolah rendah yang sedang menunggu di perhentian bas mengusik pelajar perempuan yang melalui perhentian bas tersebut. Kelihatan pelajar perempuan itu malu dengan muka yang merah padam. Kemudian pelajar perempuan ini memarahi lelaki yang mengusiknya. Sebaliknya sekumpulan pelajar lelaki yang mengusiknya itu mentertawakan perempuan tersebut.  Pelajar perempuan itu pun terus beredar sambil menahan air matanya. Sememangnya pada usia pelajar sekolah rendah, sensitiviti mereka masih tinggi.

          Sepatutnya semenjak kecil lagi, anak-anak perlu diterapkan kesantunan berbahasa. Agar perkara seperti di atas tidak lagi terjadi. Kerana ianya boleh menyinggung perasaan pihak kedua (mangsa keadaan). Jika anak-anak tidak diterapkan kesantunan berbahasa, sudah pasti perkara ini akan bertambah parah apabila mereka meningkat remaja kelak. Mereka akan mudah mengungkapkan bahasa kasar kepada orang-orang sekeliling mereka.

          Adalah lebih elok sekiranya ucapan salam dengan senyuman (itu satu sedekah) yang diberikan kepada orang yang ingin diusik itu. Sekurang-kurangnya bersopanlah jika mahu menyapa agar tidak dianggap seorang yang biadap. Kerana bahasa itu mencerminkan peribadi kita. J

Diari 9: Hargai Bahasa Kita


Tidak dinafikan pada dunia hari ini khususnya di Malaysia, ibu bapa sememangnya mahukan anak-anak mereka fasih dalam pertuturan bahasa Inggeris kerana ianya bahasa utama dunia. Namun apa yang berlaku pada hari ini, sudah ramai golongan remaja yang tidak lagi dapat menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan sepenuhnya. Ada ibu bapa yang melatih anak mereka bertutur bahasa Inggeris semenjak dari kecil sehinggalah anak mereka remaja. Perbualan seharian mereka juga dalam bahasa Inggeris sehingga anak-anak mereka tidak lagi fasih bertutur bahasa Melayu. Mungkin ini merupakan kebanggaan bagi ibu bapa kerana berjaya menerapkan bahasa Inggeris dalam diri anak-anak mereka tetapi sebenarnya ini bukanlah suatu perkara yang boleh dibanggakan kerana meminggirkan bahasa ibunda.

          Lebih-lebih lagi dengan adanya pengaruh hiburan dari Korea. Artis-artis Korea  telah menjadi kegilaan ramai terutamanya golongan remaja. Pengaruh sedemikian membuatkan para remaja teruja untuk mempelajari bahasa Korea. Boleh dikatakan keterujaan remaja hari ini mendatangkan kebaikan kerana mereka mampu mempelbagaikan pengetahuan mereka dalam bahasa-bahasa asing. Namun harus diingatkan bahawa Bahasa Kebangsaan tidak boleh dipinggirkan selagi kita masih memegang status warganegara Malaysia.

          Sedangkan warga asing mengagung-agungkan bahasa kita, inikan pula penutur aslinya yang sentiasa ingin kelihatan ‘high class’ apabila mampu bertutur dalam bahasa asing.
 
 
          Ini merupakan salah satu bukti, bahasa Melayu kita sendiri diagung-agungkan oleh rakyat asing. Mereka ini lebih menghargai bahasa kita sendiri berbanding kita. Malah mereka lebih hebat menuturkan bahasa ini berbanding penutur aslinya yang semakin alpa. Moralnya, jangan kita kalah dengan rakyat asing untuk memperjuangkan bahasa ibunda kita sendiri.

Diari 8: Jawapan Popular(Skema) Artis: 'No Comment'


Satu lagi fenomena yang melanda dunia artis di Malaysia. Tidak kiralah artis itu Melayu ataupun bukan Melayu, kita sering mendengar jawapan no comment mereka apabila tidak mahu memberitahu sesuatu isu yang berkaitan dengan peribadi mereka. Jawapan ini sudah tentunya menjengkelkan bagi para wartawan yang cuba membongkar isu peribadi artis tersebut. Tetapi tidak bagi artis tersebut kerana jawapan itu merupakan kelegaan bagi mereka yang juga bengang pertanyaan wartawan tersebut. Walaupun sudah lama jawapan seumpama ini digunakan oleh artis sebagai perisai mereka namun jawapan ini masih lagi popular dan segar sehingga ke hari ini.
 
          Mari kita lihat jawapan artis ini.
          Sharifah Amani turut menggunakan jawapan no komen dan diikuti dengan penjelasan mengapa dia memberikan kenyataan sedemikian. Mungkinkah ini ada kaitannya dengan perasaan terkilan Sharifah Amani yang tidak berjaya tercalon namun cuba menyembunyikannnya? (rasa macam wartawan pula).
          Sekurang-kurangnya jawapan Sharifah Amani tidak menimbulkan banyak persoalan daripada para wartawan setelah memberikan penjelasan yang sudah cukup munasabah itu, dan yang paling penting, artis ini menggunakan Bahasa Kebangsaan kita bagi menjelaskan kenyataan yang diberikan. Oleh itu, mungkin akan timbul sebarang syak wasangka daripada wartawan dan pembaca sekiranya hanya memberikan kenyataan no comment sahaja!

 
 

Sunday, 7 October 2012

Diari 7: Bagi yang Prihatin: Berbahasalah dengan Betul

Penggunaan bahasa Melayu yang betul  dalam kalangan remaja pada hari ini boleh dikatakan agak membimbangkan. Walaupun Perlembagaan Perkara 152 telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun masih ramai lagi yang tidak menyedari hakikat ini. Ada yang tahu tetapi tidak mengaplikasikannya. Salah satu faktor bahasa Melayu semakin dipinggirkan adalah dengan adanya pengaruh bahasa asing, bahasa Inggeris.

          Malahan kaum Cina dan India di Malaysia juga mesti tahu menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi sesama mereka. Apa yang dilihat sekarang adalah penggunaan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan kaum lain telah melebihi penggunaan bahasa Melayu.

          Meskipun begitu, ada juga golongan remaja yang prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu dengan betul:
Video ini telah dihasilkan oleh pelajar-pelajar The One Academy yang terdiri daripada kaum Cina dan India. Mereka memfokuskan penggunaan bahasa rojak iaitu bahasa campuran Melayu, Cina dan Inggeris. Ini adalah salah satu usaha untuk menyatakan kepentingan untuk mempelajari bahasa Melayu dengan betul.
Usaha mereka patut dicontohi oleh remaja lain namun untuk menyampaikan kepada masyarakat umum tentang kepentingan tersebut, bahasa yang hendak digunakan itu perlulah betul. Terdapat beberapa kesalahan bahasa yang dapat dikesan daripada video ini. Antaranya:
          Tanda merah pada perkataan di atas merupakan kesalahan bahasa yang sering terjadi kepada muda-mudi. Kata sendi di jika dijarakkan dengan perkataan yang hadir selepasnya akan merujuk tempat. Tetapi kalangan dalam ayat di atas bukanlah tempat. Oleh itu, frasa yang betul ialah: dalam kalangan. Jika diteliti secara mendalam sekarang pada ayat di atas boleh membawa kekeliruan kerana perkataan tersebut sukar ditafsir maknanya. Untuk memberi makna perkataaan sekarang, kata nama perlu hadir sebelumnya. Contoh: Bahasa Rojak dalam Kalangan Remaja Sekarang.
 
Kesalahan yang sama seperti sebelum ini, tiada kata nama untuk menjelaskan maksud ayat.
Kesalahan ini kebiasaannya terjadi bagi kaum Cina. Mereka kerap menggunakan imbuhan pasif bagi ayat aktif kerana menterjemahkan secara terus daripada bahasa Cina kepada bahasa Melayu. Berfasihàfasih.
       Oleh itu pengajaran dari video yang dihasilkan: tidak kirala kita berbangsa apapun, jika warganegara Malaysia, kita perlu tahu berbahasa Melayu. Inikan pula orang Melayu yang merupakan penutur asli.

 

Saturday, 6 October 2012

Diari 6: Bahasa Rojak


Bahasa Rojak bukanlah satu isu yang hangat jika dibandingkan dengan lagu ini:
Zee Avi: Kantoi
 

          Seronok tidak mendengarkan lagu ini? Mungkin ada yang sedang tersengih-sengih menghayati maksud lagu ini. Suatu ketika dulu lagu ini pernah menjadi kegilaan ramai kerana melodinya yang santai membuatkan ramai yang terlena di waktu malam. Bukan kerana lagu ini membosankan tetapi kerana lagu ini tidaklah menggunakan instrumen yang berat sehingga membangkitkan emosi kita.

          Namun, tujuan lagu ini diperdengarkan di sini adalah untuk memberi gambaran realiti muda-mudi zaman sekarang tentang bahasa. Pengaruh kuat dalam kalangan remaja, lagu ini agak sukar untuk kita kategorikan sama ada ianya lagu Melayu ataupun lagu Inggeris kerana mengalami percampuran kod. Mungkin lagu ini lebih sedap jika liriknya:


Semalam saya telefon awak, awak tak jawab,
awak kata awak keluar makan malam,
awak kata awak keluar dengan kawan awak,
tapi bila saya telefon Tommy, dia kata itu tak benar.

Jadi saya memandu kereta ke Damansara,
Tommy kata mungkin awak tengok bola,
tapi bila saya sampai, awak tak ada, lagilah saya jadi gila.

Jadi saya telefon dan telefon awak sampai awak jawab,
awak kata maaf sayang tadi tak dengar,
telefon saya senyap, saya ada di gym,
tapi latar belakang suara perempuan lain.

Sudahlah sayang saya tak percaya awak,
Saya selalu tahu kata-kata awak tak benar,
kenapa saya bersama awak, saya sendiri tak tahu,
tak hairanlah kawan saya pun tak suka awak.

Saya rasa begitulah pengakhiran kisah kita,
akhir kata dia terima maafnya,
tapi akhirnya kita dapat tahu dia pun curang juga,
dengan bekas teman lelaki rakan baiknya.... Tommy.


          Setelah diterjemahkan dalam bahasa Melayu penuh seperti di atas, didapati bahawa lirik yang diterjemah ini lebih sesuai dijadikan cerita dan bukannya lagu. Walaupun begitu, kita masih perlu gunakan bahasa Melayu dengan betul. Elakkanlah menggunakan bahasa rojak walaupun banyak lagu seumpama ini mempengaruhi kita.

Tuesday, 2 October 2012

Diari 5: 'Connect' dalam Pengertian Dialek Terengganu dan Kelantan


Malam adalah waktu yang sentiasa dinantikan oleh seluruh warga Kolej Za’ba kerana inilah waktu yang paling afdal untuk melayari internet dengan tenang dan gembira setelah berhempas pulas berjuang untuk mendapatkan tempat di dalam bas untuk ke kelas di pagi hari. Begitu jugalah saya yang tidak pernah lupa untuk melayari internet apabila malam menjelma. Inilah rutin harian pelajar dan penghuni yang dibekalkan wifi percuma sepanjang masa.

          Namun hari tidak selalunya cerah, kadang-kadang ada mendungnya juga. Oleh sebab ratusan penghuni Kolej Za’ba yang mahu menggunakan wifi setiap malam maka akan wujudlah persaingan sihat di situ. Usaha untuk mendapatkan jaringan wifi akan jelas kelihatan di sini. Kesukaran untuk mendapatkan jaringan yang laju untuk berhubung dengan rakan-rakan pastinya akan membawa kepada marah.

          Perkara yang sama terjadi kepada saya, sering gagal untuk memasuki jaringan wifi. Kawan-kawan serumah yang lain sering bersorak kerana dapat memasuki jaringan tesebut dengan jayanya. Mulalah saya mengeluh kepada rakan-rakan, “Kenapa tak boleh connect ni?”. Sejurus selepas keluh-kesah saya itu, teman serumah dari Terengganu tergelak. Pada mulanya saya tidak mengendahkan gelaknya. Saya kemudian bertanya kepadanya sama ada dia berjaya connect ataupun tidak. Sekali lagi dia tergelak. Saya mula tertanya-tanya, “kenapa gelak? Boleh connect ke tak ni?”. Semakin hebat gelak tawanya. Dengan telinga yang merah, muka serius dan dengan menggunakan nada yang lebih tinggi sedikit saya bertanya lagi, “apa hal ni?”. Melihat keadaan saya yang sedang cuba menahan berang walaupun saya bukan berang sebenarnya, dia pun cuba menenangkan diri dan berhenti ketawa. Ini jawabnya:

          Connect kalau tak sebut betul-betul pengertiannya lain dalam dialek Terengganu dan Kelantan. Lain kali sebutlah [kǝnk] bukan [konk]. Kalau sebut konek bermaksud… alat sulit lelakilah!”

          Terkedu saya mendengar penjelasannya. Hanya anggukan dan senyuman malu yang mampu saya berikan. Akur dengan penjelasannya. Patutlah tergelak sampai pecah perut. Pada masa yang sama saya mempelajari sesuatu yang baru. Ini adalah petanda dan pengajaran bagi saya untuk lebih berhati-hati dalam pertuturan kelak dan cubalah menerima kesukaran dengan redha dan tenang. Jangan sesekali mengeluh agar tidak kena lagi pada masa akan datang.

Monday, 1 October 2012

Diari 4: Disebalik Perkataan 'Wajib'


Seperti hari-hari biasa, semasa hendak menaiki tangga, saya akan singgah sebentar di hadapan papan kenyataan maklumat yang terpampang pada dinding blok penghuni kolej Za’ba. Sudah rezeki pada hari ini, terdapat satu kenyataan yang baru sahaja dilekatkan yang boleh menjadi isu untuk saya usulkan di laman ini. Maka terukirlah senyuman hingga ke telinga. J
 

 
          Jika diteliti terdapat banyak penggunaan singkatan perkataan. Berkemungkinan orang yang ditugaskan untuk membuat kenyataan ini mengejar masa ataupun sebagainyalah. Di sini saya ingin memfokuskan penggunaan perkataan wajib. Seingat saya, ini bukanlah kali pertama saya melihat atau mendengar perkataan wajib digunakan untuk mendesak sesuatu kelompok bagi melakukan sesuatu perkara.

          Sebenarnya, penggunaan perkataan wajib digunakan dalam aspek agama. Sekiranya tidak melakukan sesuatu perkara wajib maka mereka akan mendapat dosa dan mendapat azab. Teringat saya kepada seorang pensyarah pada semester pertama yang mengajar kelas Warisan Jawi. Beliau menyatakan tidak boleh menggunakan istilah agama sekiranya bukan berkaitan dengan agama.  Seharusnya perkataan wajib bagi perkara bukan agama perlu digantikan dengan perkataan mesti.

          Penggunaan perkataan ini perlu dibataskan untuk kegunaan agama sahaja. Lihat sahaja dunia pada zaman ini. Perkara wajib dalam agama sudah tidak diendahkan lagi. Inikan pula apabila digunakan untuk menyeru melakukan sesuatu bukan berkaitan agama. Jika telah terbiasa tidak mematuhi sesuatu perkara yang dikatakan wajib dalam hal yang bukan berkaitan dengan agama, tidak mustahil dalam hal agama juga akan terjadi demikian. Oleh itu, bersama-samalah kita renungkan.

Diari 3: 'Taking note' atau 'Note taking' ?

Dalam kelas Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar pada petang tadi, saya tertarik dengan satu persoalan yang telah ditimbulkan oleh pensyarah Nigeria yang sangat hiperaktif itu. Walaupun pensyarah ini bukanlah orang Melayu namun beliau mampu berbahasa Melayu. Tetapi masih tidak fasih berbahasa Melayu dengan lancar. Oleh sebab itulah beliau menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam kelasnya.  Semua tugasan individu, kumpulan mahupun pembentangan beliau mahukan dalam bahasa Inggeris! Demikianlah dugaan yang akan dilalui oleh saya dan rakan-rakan ISMP Bahasa Melayu yang telah tersadai di kelas beliau.  T.T

          Kelas pada hari ini dan seterusnya adalah dikhaskan untuk sesi pembentangan tugasan. Pensyarah Nigeria ini akan memilih secara rawak kumpulan yang akan membentang pada setiap kelasnya. Nampaknya kumpulan golongan adam yang bakal membentang pada hari ini. Lega terasa di hati. Sebelum pembentangan bermula, beliau sudahpun menulis taking note dan note taking pada papan putih. Saya dan rakan sekelas yang lain menyangkakan beliau menyuruh untuk mengambil nota daripada pembentangan itu. Mulalah kami menyalin nota yang dibekalkan oleh pembentang yang bertajuk Pelajar sebagai Pembelajar.

          Apabila sampai kepada poin kehadiran pelajar ke sekolah dan kemahuan pelajar untuk menimba ilmu, si pensyarah mula mencelah dan dengan tegasnya terus bertanya apakah perbezaan antara taking note dan note taking. Pada mulanya disangkakan beliau naik berang kerana ada pelajar yang tidak menumpukan perhatian semasa pembentangan. Kemudian ditanya seorang demi seorang perbezaan tersebut. Namun tidak ada jawapan yang memuaskan hati beliau. Kami mula terdiam kerana dia kelihatan sangat serius.

          Akhirnya beliau menerangkan, taking note bermaksud pelajar hanya menyalin nota tanpa memahami nota tersebut manakala note taking bermaksud pelajar memahami nota yang diberikan. Rupanya berkaitan dengan pembentangan pada masa itu. Selain itu, taking note juga dikategorikan sebagai komuniti pelajar yang sedang belajar dan mematuhi arahan tenaga pengajar sepanjang pembelajaran.  Note taking pula sebagai komuniti yang mempunyai kemahuan untuk berada bersama-sama komuniti pembelajar. Nampaknya agak rumit penghuraian kedua-dua frasa ini. (Note taking boleh saja ditakrifkan: mengambil nota. Taking note: nota diambil. Tetapi pengertian ini belum cukup jelas.)

          Di sini kita dapat lihat bagaimana frasa ringkas dalam bahasa Inggeris memerlukan pengertian dan penghuraian yang berjela-jela dalam bahasa Melayu. Kita tahu bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa dunia namun bahasa Melayu juga tidak mustahil untuk menjadi bahasa yang digunakan setaraf dengan bahasa Inggeris suatu hari nanti. Para pejuang bahasa sentiasa berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. Namun pada masa yang sama golongan ini juga perlu bekerjasama dengan tokoh atau ilmuan bahasa untuk menaiktarafkan bahasa ke arah yang lebih moden. Seperti mewujudkan istilah-istilah yang setanding dengan bahasa dunia ini. Agar nanti kita tidak perlu untuk menterjemahkan sesuatu frasa bahasa Inggeris dengan penghuraian yang panjang lebar, tetapi cukuplah adanya istilah bahasa Melayu yang dapat memberikan pengertian yang jelas terhadap sesuatu frasa bahasa dunia ini.