Friday, 2 November 2012

Diari 25: Untunglah... Untunglah...


Kebiasaanya perkataan untunglah cenderung digunakan oleh kaum wanita. Jarang sekali kita dengar perkataan ini dari kaum lelaki. Hal ini kerana wanita lebih bijak berkias daripada kaum lelaki. Apabila kita memberitahu berita gembira kepada rakan-rakan. Ada antaranya yang;

Rakan: untunglah dapat masuk UPSI...

          Cuba kita tafsir makna perkataan itu daripada perspektif perasaan si penyampai. Kelihatan ada nada-nada cemburu kan? Ada antara kita yang menyangka penggunaan perkataan untunglah adalah untuk memuji. Tetapi sebenarnya tidak. Ia merupakan sindiran kepada seseorang.

          Dunia sekarang ini dipenuhi dengan ungkapan untunglah. Seiring dengan kemajuan teknologi, ianya pantas tersebar bagaikan virus komputer. Dengan adanya alat elektronik canggih seperti Iphone, Ipad, Laptop dengan kepantasan i3, i5 dan i7 serta bermacam-macam alat lagilah yang bermula dengan huruf i maka orang ramai pasti berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Ada golongan yang mampu mendapatkannya dengan mudah. Maka begitu jugalah mudahnya perkataan untunglahkeluar dari mulut-mulut orang yang juga menginginkan alat-alat ini.

Untunglah ada Iphone!

Wah, dah ada Galaxy Tab! Untunglah.

Banyak duit boleh beli semua benda, untunglahawak.

Dia dapat kahwin anak Dato’? untunglah.

          [Jika diikutkan hati yang tengah panas, mahu saja kita membalas;'kasihannya awak tak boleh dapat semua tu...'(tapi mana mungkin orang sebaik kita mahu mengatakan sedemikian kerana kita sentiasa ingat bahawa sabar itu separuh daripada iman)]

          Betapa berleluasanya penggunaan untunglah. Kelihatan seperti menggembar-gemburkan keuntungan orang lain. Cerita sedikit, tetapi sambutan banyak. Tidak dinafikan juga ada yang berasa bengang dan tersinggung dengan ungkapan sedemikian. Kerana ada yang menggunakan perkataan ini untuk mengejek, iaitu yang menggunakannya tidak kena pada tempat dan waktunya. Contohnya;

Seorang wanita berkunjung ke rumah rakannya yang sudahpun mempunyai lima orang anak.

Siti: Wah, Fatimah, bukan main meriah rumah kau semenjak dah ada lima orang anak. Aku ni seorang pun tak ada lagi. Untunglah orang tu ada ramai anak (dengan nada sinis).

Fatimah: Untung? Ingat tak sakit beranak?

          Begitulah lumrah lumrah hidup manusia, terkadang terkilan oleh dek panahan kata-kata. Tetapi usah berkecil hati usah bersedih. Kepada sesiapa yang sering dihujani dengan perkataan untunglah, terimalah ia secara positif dan dengan hati yang tenang. Apabila cukup 40 orang mengatakan untunglah kepada anda maka beruntunglah anda kerana ia merupakan doa kepada anda agar benar-benar mendapat untung dalam kehidupan. Sentiasalah beringat, bahasa itu cerminan peribadi J

Diari 24: KBAI!


“KBAI” Pernah mendengar perkataan ini? Saya sering terbaca komen sedemikian di facebook seperti;

Esok ada perjumpaan kelas, semua dikehendaki hadir! Kbai!

Semakin ramai yang menggunakan perkataan ini semakin saya tertanya-tanya, kenapa perlu tulis KBAI?

          Remaja sekarang ini termasuklah golongan dewasa yang masih perasan diri masih remaja cenderung menggunakan perkataan ini. Ada yang berpendapat maksud Kbai ialah;


 


Ya, singkatan yang diambil daripada perkataan bahasa Inggeris. Ini bermakna orang yang menulis perkataan kbai di hujung ayatnya tidak kiralah dalam facebook mahupun dalam SMS, mereka mungkin tidak mahu komen, status, mesej mereka ataupun yang sewaktu dengannya dipersoalkan lagi. Oleh itu, boleh dikatakan kbai sama ertinya dengan bahasa Melayuà sekian dan jumpa lagi. Contohnya;

Esok ada perjumpaan kelas, semua dikehendaki hadir! Kbai! à
Esok ada perjumpaan kelas, semua dikehendaki hadir! Sekian dan jumpa lagi.

Nampaknya adalah lebih molek menggunakan ungkapan sekian dan jumpa lagi berbanding kbai. Setuju tidak? (saya setuju!)

Tetapi ada juga orang yang berpendapat;



Kita lihat pandangan yang lain pula;



Walau apapun pandangan orang terhadap penggunaan kbai semuanya adalah atas hak masing-masing. Namun seelok-eloknya gunakanlah bahasa kita bahasa Melayu sebagai tanda kita bangga terhadap bahasa kita. Kalau bukan kita sebagai anak jati Malaysia, siapa lagi?

Thursday, 1 November 2012

Diari 23: Anda Sihat?


Pernah tak anda mendapat pujian seperti:

Wah! Semakin sihatlah awak?

          Ramai yang mengetahui maksud disebalik ungkapan ini. Tetapi ada juga yang masih tertanya-tanya mengapa mereka menerima pujian sedemikian sedangkan muka mereka kelihatan kusam, bermata kuyu dan badan lemah-gemalai. Jika diterjemah maksud sebenar ungkapan di atas, maknanya orang yang ditujukan pujian itu sebenarnya agak berisi. Ungkapan tersebut adalah untuk menggantikan;

Wah! Semakin berisi/gemuklah awak!

          Kebanyakkan orang Melayu sekarang lebih selesa menggunakan perkataan sihat untuk menggantikan maksud gemuk/berisi untuk tidak menyinggung perasaan orang yang ditujukan makna itu. Mungkin ada juga yang berkecil hati tetapi tidaklah terlalu terasa sangat berkecil hati kerana orang yang menujukan makna itu tidak terlalu berterus terang. Bayangkan jika ada orang yang menyapa anda seperti:

Eh! Awak gemuklah!

          Sudah tentu anda akan berasa tersinggung kerana mengkritik fizikal anda secara terang-terangan dan mungkin juga anda ingin memberi buku lima kepada orang itu? Siapa tahu? Oleh itu, gunakanlah istilah yang lebih sopan sekiranya hendak mengkritik pun.

Diari 22: Dialek Kelantan: Teman Wanita


Masih terbayang-bayang percutian di Kelantan walaupun sekejap sahaja. Mungkin tertarik dengan dialek yang digunakan atau mungkin juga MAKANANNYA. J

          Saya masih teringat waktu mula-mula sampai di rumah rakan saya yang terletak di Jeli di Daerah Melintang. Dari UMK terus ke rumahnya. Dia dan sepupunya mengambil saya dari UMK dengan kereta Honda. Kebetulan sepupunya ialah lelaki dalam lingkungan umur saya dan sangat mesra dengan sesiapa sahaja membuatkan saya tidak kekok sepanjang perjalanan yang mengambil masa setengah jam itu.

          Sebaik sahaja sampai di rumah rakan saya, kelihatan ramai sanak-saudaranya menunggu di halaman rumah. Terasa bagaikan artis disambut dengan peminat-peminat. Saya menghulur tangan untuk bersalaman dengan mereka satu-persatu kemudian kedengaran bunyi-bunyi yang agak mencuit hati daripada sepupu rakan saya itu;

Sepupu: wah! Gewe abe dah sapai! Comey gewe abe!

Bahasa Melayu baku: Wah! Teman wanita abang dah sampai! CANTIK TEMAN WANITA ABANG!

          Saya tersenyum bukan kerana tidak faham tetapi sangat memahami maksud tersebut. Abe yang dimaksudkannya ialah lelaki yang bersama-sama rakan saya tadi. Abe itu pun turut tersipu-sipu malu tanpa berkata apa-apa. Mereka menyangka saya teman wanita abe empunya Honda itu. Hendak menafikan, segan terasa. Jadi saya biarkan sahaja usikan itu untuk memeriahkan suasana. Hal ini membuatkan saya tertarik untuk menguasai dialek Kelantan kerana rasa gembira dan puas hati sekiranya kita mampu memahami apa yang mereka katakan apatah lagi dapat berkomunikasi dengan mereka dengan menggunakan dialek mereka.

Diari 21: Cina dan India Semasa Bekerja


Semalam saya dan rakan saya ke pekan Tanjung Malim untuk membeli barang keperluan semasa cuti pertengahan semester ini. Sampai sahaja di pekan kami menuju ke pusat farmasi berhampiran iaitu Bond Mega Pharmacy. Kami hanya mahu melihat-lihat ubat-ubatan yang terdapat di sana.

          Sebaik sahaja masuk seorang wanita India dalam lingkungan 30an dan montel menyapa kami:

Pekerja A: Nak cari apa adik?
Saya: kami hanya mahu melihat-lihat sahaja.
Pekerja A: ok

Kemudian kami pun pergi ke sudut lain kerana lama diperhatikan pekerja tersebut. Datang pula seorang wanita India yang lain menyapa kami lagi. Kali ini wanita India ini berbadan kurus.

Pekerja B: Cari apa tu dik?
Saya: Kami mahu lihat-lihat dulu.

          Saya terpandang satu produk kesihatan untuk wanita di sebalik kaca. Kemudian meminta penjelasan wanita India kurus itu tentang produk tersebut. Dia dengan ramahnya mengambil produk kesihatan itu dan memberi saya lihat sambil menjelaskan. Namun penjelasan itu tidak cukup buat saya. Kemudian dia pun meminta seorang tauke Cina yang berlalu di situ untuk menjelaskannya. Tauke Cina tersebut sedang menulis sesuatu.

Pekerja B: Amoi awak tolong bagi tahu dia apa fungsi produk ni.

Tauke Cina itu terdiam tanpa mempedulikan pekerjanya. Kami menanti dengan penuh sabar. Agak lama menanti dia bersuara.

Tauke: Tak nampak ke saya sedang sibuk? (sambil tangannya ligat menulis tak tahu apa yang ditulisnya)
Pekerja B: (terdiam) Tak apalah adik, mungkin dalam kotak produk ni ada pamplet.

Saya hanya mengangguk sahaja. Kemudian saya tercari-cari ada berapa paket ubat yang terkandung dalam kotak produk tersebut. Pekerja tersebut juga mencari tetapi tidak jumpa. Kemudian dia pun menyerahkan kotak tersebut kepada tauke Cina yang berada di kaunter. Kelihatan tauke Cina tersebut seperti tidak mempedulikan pekerja mereka sehinggalah saya datang bertanyakan sendiri. Tauke Cina itu memanggil pekerja tersebut;

Tauke: ini pun awak tak tau cari ka? Kan saya sudah cakap lain kali tengok betul-betul, jangan memandai-mandai! (memarahi pekerjanya)

Pekerja itu terdiam tanpa memberikan sebarang respon kerana malu dengan apa yang diperkatakan oleh tauke itu. Dan kelihatan dia berasa kecil hati. Dia kemudian pergi ke sudut lain agar tidak dimarahi lagi.

          Rasa kasihan pula dengan pekerja India tersebut kerana dia kelihatan bersungguh-sungguh untuk bekerja namun kemungkinan semangatnya patah apabila dilayan sedemikian. Bagi saya, tauke tersebut tidak sepatutnya melayan pekerjanya di hadapan pelanggan seperti apa yang berlaku tadi. Sekiranya ada masalah maka jangan dibawa semasa bekerja. Selesaikan di luar waktu bekerja kerana ianya mungkin akan mengganggu perniagaan yang dijalankan. Sekurang-kurangnya bersopanlah di hadapan pelanggan. Janganlah memalukan pekerja sendiri. Tunjukkanlah contoh yang baik terhadap pekerja mahupun pelanggan. Sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya berbudi bahasa tidak kira bangsa dan warna kulit.

Diari 20: Bercuti di Kelantan


Pada cuti hari raya aidiladha semester ini saya telah membuat keputusan untuk menyertai rakan untuk bercuti di Kelantan. Perjalanan dari Tanjung Malim ke Kota Bharu Kelantan mengambil masa lebih kurang lapan jam dan hal ini sudah tentu membuatkan badan kita terasa sangat lenguh (betul!). Apa yang mengujakan semasa perjalanan tersebut adalah apabila kami terpaksa bertukar bas kerana bas yang kami naiki itu rosak dan terpaksa berhenti di tepi jalan.
Kota Bharu Kelantan

          Walau apapun yang berlaku perasaan teruja untuk ke tempat jauh masih lagi terasa. Sampai di Kota Bharu, pergi pula ke Jeli untuk melawat adik yang belajar di UMK. Sambutan hari raya aidiladha di Kelantan sememangnya meriah. Tetapi apa yang pasti tinggal di Kelantan boleh menggemukkan!

          Teringat saya sewaktu mula-mula bertemu dengan keluarga rakan saya di Jeli. Keluarganya kelihatan senang dengan kedatangan saya. Kemudian si ibu bertanya perihal adik saya yang sedang belajar di tempat mereka;

Si ibu; adik jate betino?

Saya; (dahi berkerut cuba untuk memahami maksudnya)

Rakan saya; mak tanya adik lelaki atau perempuan?

Saya; oh, perempuan.

Si ibu mengangguk. Memang mudah untuk difahami jika dibaca tetapi apabila mendengar perkataan itu diungkapkan agak sukar untuk difahami. Mujurlah ada rakan untuk menterjemah.

          Setelah mengetahui maksud perkataan tersebut maka saya dengan selambanya menjawab pertanyaan yang sama yang diajukan oleh mak cik dan pakcik rakan saya.

          Jate betino jika diterjemah terus ke dalam bahasa Melayu akan menjadi à jantan betina yang digunakan untuk mengklasifikasikan jantina bagi haiwan. Tetapi dalam bahasa Melayu bagi manusia tidak dikategorikan sebagai jantan betina kerana ianya boleh dianggap bahasa kasar yang mungkin akan menyinggung perasaan. Apabila mendengar dialek Kelantan mengungkapkan perkataan sedemikian kita tidak akan merasakan istilah yang mereka gunakan itu kasar kerana dari segi intonasi dan nada yang bersahaja menunjukkan tidak terdapatnya unsur yang boleh menyinggung perasaan orang.

          Ada waktu ketika ahli sekeluarga mereka berbual-bual dalam dialek Kelantan, saya hanya mampu tersenyum dan mengangguk sambil menumpukan perhatian apa yang dibualkan oleh mereka meskipun sepatah haram saya tidak faham. Tetapi saya pasti dapat memahami dialek Kelantan sekiranya tinggal lebih lama  di sana. Oleh kerana tugasan sudah memanggil maka terpaksalah berangkat pulang ke kolej lebih awal.

Thursday, 18 October 2012

Diari 19: Mengimbau Kenangan Lalu


Setiap orang mempunyai kenangan lalu yang tidak dapat dilupakan. Bahkan menjadi pengajaran hingga ke hari ini dan mungkin untuk generasi yang seterusnya. Semasa kecil ibu dan ayah banyak mendidik kita dengan pelbagai cara. Hasil didikan merekalah yang mematangkan kita agar kita boleh menjaga diri kelak. Agar mereka tidak perlu lagi merasa risau terhadap diri kita.

          Semasa kecil dulu ada di antara kita yang sememangnya sungguh nakal, suka kejar ayam, panjat pokok, jolok sarang tebuan dan sebagainya. Namun ibu bapa mempunyai cara mereka tersendiri mengajar anak mereka ini.

Kisah si anak yang suka panjat pokok Jambu

Ayah: Sudah-sudahlah panjat pokok tu Aiman, nanti tak pasal-pasal Aiman jatuh pula. Kalau jatuh nanti patah kaki tau. Tak boleh jalan.

Aiman: Aiman tak mungkin jatuhlah ayah. Aiman kan Superman (cuba menggapai dahan pokok Jambu)

Ayah: Turunlah Aiman, dah tinggi sangat tu. Atas tu banyak kerengga, kena gigit sakit.

Aiman: Apalah ayah ni, Aiman dah cakap Aiman Superman! Aiman tak takut kerengga! Kerengga yang takut Aiman!

(Tiba-tiba dahan yang cuba digapai oleh Aiman patah, Aiman terjatuh sambil menjerit memanggil ayahnya. Aiman menangis kesakitan)

Ayah: (bergegas menuju ke arah Aiman dengan keadaan risau) Sakit Aiman? (sambil memapah Aiman masuk ke dalam rumah)

Aiman: Sakitlah ayah!

Ayah: Eh, Aiman kan Superman, macam mana boleh jatuh pula? Lain kali naiklah lagi Aiman.

Aiman: Ayah jahat!

Ayah: Itulah, lain kali dengarlah cakap ayah. Jangan nak jadi Superman sangat.

Selepas kejadian itu, kemungkinan besar si anak tidak lagi memanjat pokok. Si ayah pandai bermain dengan kata-kata untuk memberi pengajaran kepada anaknya. Kadang-kadang kita hanya perlu menggunakan bicara halus untuk mengajar anak-anak, bukannya dengan kekerasan. Cara ini dikenali sebagai Reverse Psychology ataupun Psikologi Berbalik. Inilah fungsi bahasa kita J

Diari 18: Kanak-kanak yang Pandai Berbahasa


Masih ingat lagikah kes penculikan dan pembunuhan Dirang pada Mac lalu? rupa-rupanya dalang di sebalik semua ini ialah seorang bekas anggota tentera. Ugutan dihantar melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada keluarga Dirang. SMS tersebut pula ditulis sendiri oleh anak seorang bekas anggota tentera itu.


          Lihat, betapa tersusunnya ayat kanak-kanak berusia 11 tahun ini. Walaupun kata nama tidak menggunakan huruf besar tetapi isinya masih boleh difahami. Untuk perkara yang negatif yang berbentuk jenayah pun mereka masih boleh berbahasa dengan betul tapi kenapa tidak dalam perkara yang positif? Walau bagaimanapun, apa yang telah terjadi kepada Dirang sememangnya disifatkan sungguh tidak berperikemanusiaan. Meskipun menggunakan bahasa yang betul, namun hukuman tetap hukuman.

 

 

 

Diari 17: Kita 1Malaysia


Pada pendapat anda, adakah seruan untuk menyemarakkan dasar 1Malaysia sudah berjaya pada hari ini? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Idea ini terlintas semasa saya menaiki bas untuk balik ke kolej sebaik sahaja kelas akhir pada hari ini selesai.

          Apabila melangkah masuk, kelihatan pemandu bas ataupun lebih dikenali sebagai Pak Cik India yang baik hati sedang tidur nyenyak di kerusi barisan hadapan. Rasa sedikit kasihan pun ada juga kerana mungkin juga pak cik ini keletihan memandu dari awal pagi hingga ke petang. Pak cik ini sememangnya dikenali dengan sikap peramahnya kerana beliau sanggup membalas ucapan terima kasih oleh ramai pelajar yang menaiki bas.

          Selepas beberapa minit, pak cik bas ini pun bangun dan terus kembali ke kerusi pemandu, bersedia untuk menjalankan tugasnya semula. Kemudian beliau terus memasang radio dengan volum yang cukup jelas untuk didengar oleh semua pelajar dalam bas. Rupanya radio bahasa Tamil. Terasa bagaikan berada di Negara India pada ketika itu. Kepala pusing kerana tidak memahami sepatah haram pun apa yang diperkatakan.

          Ini bukanlah pertama kali berlaku, malah ada ramai pemandu bas berbangsa India memperdengarkan radio dan lagu-lagu bahasa Tamil yang langsung tidak difahami oleh pelajar berbangsa lain terutamanya saya. Hal ini sentiasa berlaku, mungkin juga tiada yang menegur. Sedangkan yang menaiki bas tersebut majoriti orang Melayu.

          Sewajarnya pasanglah radio bahasa Melayu yang difahami oleh semua. Kerana kita 1Malaysia maka gunakanlah bahasa Kebangsaan kita. J

Monday, 15 October 2012

Diari 16: FAHAM Cikgu!


Cara terbaik yang disangkakan oleh murid-murid untuk mengelakkan cikgu berceloteh panjang lebar:

Situasi 1

Cikgu: Faham murid-murid?

Murid-murid: Faham cikgu!

Cikgu: Bagus murid-murid.

 

Situasi 2

Cikgu: Murid-murid faham?

Murid-murid: Faham cikgu!

Cikgu: Baiklah, apa yang kamu faham?

Murid-murid: Err… (Menggelabah)

 

Situasi 3

Cikgu: Faham murid-murid?

Murid-murid: Tak cikgu. (sambil menggelengkan kepala)

Cikgu: Bahagian mana kamu tak faham?

Murid-murid: Semua cikgu.

Cikgu: ………. Baiklah…… L

 

Situasi 4

Setelah beberapa kali cikgu menjelaskan topik yang sama;

Cikgu: Baiklah murid-murid, sekarang dah faham?

Murid-murid: Tak faham lagilah cikgu.

Cikgu: Tak kan tak faham-faham lagi!? Dah banyak kali cikgu ulang tahu tak… bla… bla… bla…

          Pengajaran di sini, berhati-hati dengan pertanyaan yang melibatkan kefahaman pelajar. Apabila kita boleh mentafsir bahasa tubuh murid-murid maka tidak perlulah kita bertanya lagi kerana ianya boleh menggugat kesabaran kita sendiri sekiranya jawapan yang diberikan tidak seperti apa yang kita harapkan.

Diari 15: Apabila Kelas Batal





Mengapa pelajar gembira apabila kelas dibatalkan? Apabila kelas batal, masa yang ada boleh digunakan untuk balik ke tempat kediaman masing-masing merehatkan minda, melayari laman web dan yang paling disukai ramai ialah tidur. Situasi semasa pengumuman kelas dibatalkan;
Pensyarah: Perhatian kepada semua, kelas pada minggu depan dibatalkan. Oleh itu, gunakanlah masa yang ada untuk menyiapkan tugasan masing-masing.

Pelajar: Laaa, kenapa batal dr.? tak best lah kalau macam tu.

Pensyarah: Tak payahlah tanya kenapa, saya tahu kamu suka kelas batal.

          Kelihatan pensyarah itu sangat memahami karenah pelajarnya. Daripada soalan yang diajukan oleh pelajar, pensyarah sudah boleh mengesan reaksi sebenar pelajar. Kerana apa yang difikirkan oleh seseorang tidak semestinya boleh digambarkan dengan kata-kata tetapi dengan bahasa tubuhnya juga. Tetapi ada juga pensyarah yang agak bijak bermain dengan situasi;

Pensyarah: Esok kelas batal ye semua.

Pelajar: Kenapa pula dr.? Tak suka lah kelas batal. (sambil tersengih-sengih kegembiraan)

Pensyarah: Oh, kalau macam tu, kelas tak jadi batal. Semua kena datang kelas esok.

Pelajar: Alamak! (kecewa)

          Oleh itu, bahasa tubuh perlu digunakan bersesuaian dengan kata-kata yang hendak diungkapkan. Ataupun dengan kata lain, belajarlah menggunakan bahasa tubuh dengan sebaiknya untuk meyakinkan orang lain.


 

Diari 14: Pemandu Bas dan Kita


…Kesinambungan daripada kisah 'Bas dan Pelajar UPSI'…

Semasa hendak keluar dari bas pula ada sesetengah pelajar itu langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada si pemandu bas. Adakah si pemandu bas akan berasa kecil hati? Hanya Tuhan dan dia sahaja yang tahu. Namun ada juga kelompok pelajar yang rajin berterima kasih kepada si pemandu bas yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab:

Pelajar A: Terima kasih pak cik.

Pelajar B: Thank you uncle.

Pelajar C: (ucapan dalam bahasa Tamil)

          Ini merupakan amalan yang baik daripada pelajar yang baik. Kita lihat reaksi si pemandu bas pula:

Pemandu bas A: sama-sama

Pemandu bas B: sama-sama (tersenyum mesra yang sangat mesra sambil merenung kita)

Pemandu bas C: (mengangguk sahaja)

Pemandu bas D: (tidak melayan pelajar)

          Berdasarkan reaksi pemandu bas A, B, C dan D itu mungkin akan timbul pelbagai spekulasi negatif. Kita mungkin akan berfikir bahawa pemandu bas B seorang yang gatal dan pemandu bas D seorang yang sombong. Atau mungkinkah si pemandu bas ini menantikan suatu kelainan daripada ucapan kita, seperti;

Pelajar A, B dan C: Terimalah kuih ini pak cik. J

          Tidak mustahil bukan? Siapa yang mahu tolak rezeki?

Walau apa pun reaksi pemandu bas itu, jadikanlah amalan baik seperti mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas satu amalan yang baik kerana tugas mereka sebenarnya bukanlah mudah seperti yang kita sangkakan.

Diari 13: Bas dan Pelajar UPSI


Seperti hari-hari biasa, pelajar UPSI akan sentiasa mengejar bas untuk ke kelas masing-masing. Di sini semangat juang yang tinggi akan kelihatan dengan jelas sekali sebaik sahaja pintu bas terbuka. Masing-masing berhimpit-himpit, beresak-esakan untuk mendapatkan tempat di dalam bas yang dilengkapi dengan penghawa dingin. Setelah berjaya mendapatkan tempat, berjuang pula untuk keluar dahulu sambil membelakangkan orang-orang yang letih berdiri sepanjang perjalanan. Tanpa mengucapkan terima kasih  apabila dberi ruang dan peluang keluar dahulu dan tanpa mengucapkan maaf apabila memotong barisan pelajar yang sedang berdiri sepanjang perjalanan. Adakah ini sesuatu yang wajar dicontohi? Perkara sedemikian sudah semakin lazim dalam kalangan pelajar UPSI. Sekurang-kurangnya dahulukanlah pelajar-pelajar yang penat berdiri untuk melangkah keluar dahulu sebelum kita yang senang-lenang duduk di bawah penghawa dingin bas melangkah. Bersikap matanglah kerana kita bukan lagi kanak-kanak yang perlu diajar tentang adab tatatertib.

Wednesday, 10 October 2012

Diari 12: Papan Tanda dan Kain Rentang


Papan tanda ataupun kain rentang yang dihias cantik boleh menarik perhatian pemandu, penunggang dan pejalan kaki. Kadang-kadang kenyataan pada papan tanda juga sangat menarik perhatian mereka. Contohnya, kesalahan ejaan dan penggunaan istilah yang jarang digunakan.

 
 
Kesalahan ejaan. Tetapi orang awam masih boleh mentafsir makna yang disampaikan. Kesalahan sedemikian mungkin biasa bagi kita. Mari kita lihat yang luar biasa pula.
 
Kesalahan istilah dapat dilihat dalam arahan di atas. Rasionalnya: tidak mungkinlah kita menggunakan cahaya seperti yang ada pada kamera selepas menggunakan tandas. Flash yang dimaksudkan itu ialah flush.


Rupanya  ada juga yang mampu menjual bumi kan? Pembetulan: Earth à Land

Ada sesiapa yang berani menjual gadis?
Sepatutnya Penjual GadisàGadis Penjual. Kesalahan hukum D-M. Mungkin ada yang boleh tersalah tafsir melihat tawaran pada kain rentang tersebut. Sebab itulah kita mesti berhati-hati dalam penggunaan bahasa untuk memberi arahan, amaran mahupun tawaran.

Tuesday, 9 October 2012

Diari 11: Bahasa Seiring Teknologi


Bahasa kini  bergerak seiring dengan teknologi. Contohnya dalam penggunaan Facebook.
 

Facebook versi bahasa Inggeris

Kita lihat versi bahasa ibunda kita pula:

 

Nampaknya, tidak sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu. Masih ada terselit bahasa Inggeris. Adakah ini percampuran kod? Ya! Maklumlah Facebook bukan diasaskan oleh orang Malaysia. Bayangkan jika kita anak jati Malaysia mengasaskan Muka Buku ini:
Facebook versi Negeri Sembilan
 
 

Facebook versi Kedah

          Kreatif bukan orang-orang kita mengubahsuai Facebook dalam pelbagai versi? Malah ada banyak versi lagi yang terdapat di Malaysia menggunakan dialek yang berbeza mengikut negeri mereka. Inilah usaha orang-orang kita untuk memartabatkan dialek masing-masing agar tidak hilang ditelan zaman meskipun dunia semakin moden. Tahniah!

Monday, 8 October 2012

Diari 10: Apabila si Jejaka Mengusik


Cara si jejaka-jejaka yang kurang tampan menarik perhatian si anak dara yang sedang lalu dan tidak endah akan kehadiran jejaka-jejaka ini adalah dengan mengeluarkan bunyi: “Peewit!”. Apakah reaksi si anak dara? Mungkinkah dia perasan, teruja atau gembira? Ataupun dia geram, menyampah atau ingin melemparkan batu ke arah jejaka-jejaka ini?

          Dahulunya cara ini sangat popular dalam kalangan jejaka-jejaka yang boleh dikatakan kurang laku. Dengan harapan mereka menemui jodoh apabila membuat usikan sedemikian. Namun pada masa ini, dunia semakin canggih, tidak perlu “peewit” lagi, malah semuanya mudah dengan hujung jari sahaja. Adanya Facebook, Tweeter dan tidak ketinggalan juga telefon bimbit yang canggih, semuanya membantu untuk menarik perhatian si dia yang menawan.

          Walaupun dunia sudah canggih, namun tidak dinafikan usikan yang digunapakai dahulu masih diamalkan sekarang. Malah dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah rendah. Pernah sekali saya terlihat dan terdengar pelajar lelaki sekolah rendah yang sedang menunggu di perhentian bas mengusik pelajar perempuan yang melalui perhentian bas tersebut. Kelihatan pelajar perempuan itu malu dengan muka yang merah padam. Kemudian pelajar perempuan ini memarahi lelaki yang mengusiknya. Sebaliknya sekumpulan pelajar lelaki yang mengusiknya itu mentertawakan perempuan tersebut.  Pelajar perempuan itu pun terus beredar sambil menahan air matanya. Sememangnya pada usia pelajar sekolah rendah, sensitiviti mereka masih tinggi.

          Sepatutnya semenjak kecil lagi, anak-anak perlu diterapkan kesantunan berbahasa. Agar perkara seperti di atas tidak lagi terjadi. Kerana ianya boleh menyinggung perasaan pihak kedua (mangsa keadaan). Jika anak-anak tidak diterapkan kesantunan berbahasa, sudah pasti perkara ini akan bertambah parah apabila mereka meningkat remaja kelak. Mereka akan mudah mengungkapkan bahasa kasar kepada orang-orang sekeliling mereka.

          Adalah lebih elok sekiranya ucapan salam dengan senyuman (itu satu sedekah) yang diberikan kepada orang yang ingin diusik itu. Sekurang-kurangnya bersopanlah jika mahu menyapa agar tidak dianggap seorang yang biadap. Kerana bahasa itu mencerminkan peribadi kita. J

Diari 9: Hargai Bahasa Kita


Tidak dinafikan pada dunia hari ini khususnya di Malaysia, ibu bapa sememangnya mahukan anak-anak mereka fasih dalam pertuturan bahasa Inggeris kerana ianya bahasa utama dunia. Namun apa yang berlaku pada hari ini, sudah ramai golongan remaja yang tidak lagi dapat menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan sepenuhnya. Ada ibu bapa yang melatih anak mereka bertutur bahasa Inggeris semenjak dari kecil sehinggalah anak mereka remaja. Perbualan seharian mereka juga dalam bahasa Inggeris sehingga anak-anak mereka tidak lagi fasih bertutur bahasa Melayu. Mungkin ini merupakan kebanggaan bagi ibu bapa kerana berjaya menerapkan bahasa Inggeris dalam diri anak-anak mereka tetapi sebenarnya ini bukanlah suatu perkara yang boleh dibanggakan kerana meminggirkan bahasa ibunda.

          Lebih-lebih lagi dengan adanya pengaruh hiburan dari Korea. Artis-artis Korea  telah menjadi kegilaan ramai terutamanya golongan remaja. Pengaruh sedemikian membuatkan para remaja teruja untuk mempelajari bahasa Korea. Boleh dikatakan keterujaan remaja hari ini mendatangkan kebaikan kerana mereka mampu mempelbagaikan pengetahuan mereka dalam bahasa-bahasa asing. Namun harus diingatkan bahawa Bahasa Kebangsaan tidak boleh dipinggirkan selagi kita masih memegang status warganegara Malaysia.

          Sedangkan warga asing mengagung-agungkan bahasa kita, inikan pula penutur aslinya yang sentiasa ingin kelihatan ‘high class’ apabila mampu bertutur dalam bahasa asing.
 
 
          Ini merupakan salah satu bukti, bahasa Melayu kita sendiri diagung-agungkan oleh rakyat asing. Mereka ini lebih menghargai bahasa kita sendiri berbanding kita. Malah mereka lebih hebat menuturkan bahasa ini berbanding penutur aslinya yang semakin alpa. Moralnya, jangan kita kalah dengan rakyat asing untuk memperjuangkan bahasa ibunda kita sendiri.