Pada cuti hari raya aidiladha
semester ini saya telah membuat keputusan untuk menyertai rakan untuk bercuti
di Kelantan. Perjalanan dari Tanjung Malim ke Kota Bharu Kelantan mengambil
masa lebih kurang lapan jam dan hal ini sudah tentu membuatkan badan kita
terasa sangat lenguh (betul!). Apa yang mengujakan semasa perjalanan tersebut
adalah apabila kami terpaksa bertukar bas kerana bas yang kami naiki itu rosak
dan terpaksa berhenti di tepi jalan.
Kota Bharu Kelantan
Walau
apapun yang berlaku perasaan teruja untuk ke tempat jauh masih lagi terasa.
Sampai di Kota Bharu, pergi pula ke Jeli untuk melawat adik yang belajar di UMK.
Sambutan hari raya aidiladha di Kelantan sememangnya meriah. Tetapi apa yang
pasti tinggal di Kelantan boleh menggemukkan!
Teringat
saya sewaktu mula-mula bertemu dengan keluarga rakan saya di Jeli. Keluarganya
kelihatan senang dengan kedatangan saya. Kemudian si ibu bertanya perihal adik
saya yang sedang belajar di tempat mereka;
Si ibu; adik jate betino?
Saya; (dahi berkerut cuba untuk
memahami maksudnya)
Rakan saya; mak tanya adik lelaki
atau perempuan?
Saya; oh, perempuan.
Si ibu mengangguk. Memang mudah
untuk difahami jika dibaca tetapi apabila mendengar perkataan itu diungkapkan
agak sukar untuk difahami. Mujurlah ada rakan untuk menterjemah.
Setelah
mengetahui maksud perkataan tersebut maka saya dengan selambanya menjawab
pertanyaan yang sama yang diajukan oleh mak cik dan pakcik rakan saya.
Jate
betino jika diterjemah terus ke dalam bahasa Melayu akan menjadi à jantan betina yang digunakan untuk
mengklasifikasikan jantina bagi haiwan. Tetapi dalam bahasa Melayu bagi manusia
tidak dikategorikan sebagai jantan betina kerana ianya boleh
dianggap bahasa kasar yang mungkin akan menyinggung perasaan. Apabila mendengar
dialek Kelantan mengungkapkan perkataan sedemikian kita tidak akan merasakan
istilah yang mereka gunakan itu kasar kerana dari segi intonasi dan nada yang
bersahaja menunjukkan tidak terdapatnya unsur yang boleh menyinggung perasaan
orang.
Ada
waktu ketika ahli sekeluarga mereka berbual-bual dalam dialek Kelantan, saya
hanya mampu tersenyum dan mengangguk sambil menumpukan perhatian apa yang
dibualkan oleh mereka meskipun sepatah haram saya tidak faham. Tetapi saya pasti
dapat memahami dialek Kelantan sekiranya tinggal lebih lama di sana. Oleh kerana
tugasan sudah memanggil maka terpaksalah berangkat pulang ke kolej lebih awal.
No comments:
Post a Comment