Semalam saya dan rakan saya ke
pekan Tanjung Malim untuk membeli barang keperluan semasa cuti pertengahan
semester ini. Sampai sahaja di pekan kami menuju ke pusat farmasi berhampiran
iaitu Bond Mega Pharmacy. Kami hanya mahu melihat-lihat ubat-ubatan yang
terdapat di sana.
Sebaik
sahaja masuk seorang wanita India dalam lingkungan 30an dan montel menyapa
kami:
Pekerja A: Nak cari apa adik?
Saya: kami hanya mahu
melihat-lihat sahaja.
Pekerja A: ok
Kemudian kami pun pergi ke sudut
lain kerana lama diperhatikan pekerja tersebut. Datang pula seorang wanita
India yang lain menyapa kami lagi. Kali ini wanita India ini berbadan kurus.
Pekerja B: Cari apa tu dik?
Saya: Kami mahu lihat-lihat dulu.
Saya
terpandang satu produk kesihatan untuk wanita di sebalik kaca. Kemudian meminta
penjelasan wanita India kurus itu tentang produk tersebut. Dia dengan ramahnya
mengambil produk kesihatan itu dan memberi saya lihat sambil menjelaskan. Namun
penjelasan itu tidak cukup buat saya. Kemudian dia pun meminta seorang tauke
Cina yang berlalu di situ untuk menjelaskannya. Tauke Cina tersebut sedang
menulis sesuatu.
Pekerja B: Amoi awak tolong bagi tahu
dia apa fungsi produk ni.
Tauke Cina itu terdiam tanpa
mempedulikan pekerjanya. Kami menanti dengan penuh sabar. Agak lama menanti dia
bersuara.
Tauke: Tak nampak ke saya sedang
sibuk? (sambil tangannya ligat menulis tak tahu apa yang ditulisnya)
Pekerja B: (terdiam) Tak apalah
adik, mungkin dalam kotak produk ni ada pamplet.
Saya hanya mengangguk sahaja.
Kemudian saya tercari-cari ada berapa paket ubat yang terkandung dalam kotak
produk tersebut. Pekerja tersebut juga mencari tetapi tidak jumpa. Kemudian dia
pun menyerahkan kotak tersebut kepada tauke Cina yang berada di kaunter.
Kelihatan tauke Cina tersebut seperti tidak mempedulikan pekerja mereka
sehinggalah saya datang bertanyakan sendiri. Tauke Cina itu memanggil pekerja
tersebut;
Tauke: ini pun awak tak tau cari
ka? Kan saya sudah cakap lain kali tengok betul-betul, jangan memandai-mandai! (memarahi pekerjanya)
Pekerja itu terdiam tanpa
memberikan sebarang respon kerana malu dengan apa yang diperkatakan oleh tauke
itu. Dan kelihatan dia berasa kecil hati. Dia kemudian pergi ke sudut lain agar
tidak dimarahi lagi.
Rasa
kasihan pula dengan pekerja India tersebut kerana dia kelihatan
bersungguh-sungguh untuk bekerja namun kemungkinan semangatnya patah apabila
dilayan sedemikian. Bagi saya, tauke tersebut tidak sepatutnya melayan
pekerjanya di hadapan pelanggan seperti apa yang berlaku tadi. Sekiranya ada
masalah maka jangan dibawa semasa bekerja. Selesaikan di luar waktu bekerja
kerana ianya mungkin akan mengganggu perniagaan yang dijalankan.
Sekurang-kurangnya bersopanlah di hadapan pelanggan. Janganlah memalukan
pekerja sendiri. Tunjukkanlah contoh yang baik terhadap pekerja mahupun
pelanggan. Sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya berbudi bahasa tidak kira
bangsa dan warna kulit.
No comments:
Post a Comment