Friday 2 November 2012

Diari 25: Untunglah... Untunglah...


Kebiasaanya perkataan untunglah cenderung digunakan oleh kaum wanita. Jarang sekali kita dengar perkataan ini dari kaum lelaki. Hal ini kerana wanita lebih bijak berkias daripada kaum lelaki. Apabila kita memberitahu berita gembira kepada rakan-rakan. Ada antaranya yang;

Rakan: untunglah dapat masuk UPSI...

          Cuba kita tafsir makna perkataan itu daripada perspektif perasaan si penyampai. Kelihatan ada nada-nada cemburu kan? Ada antara kita yang menyangka penggunaan perkataan untunglah adalah untuk memuji. Tetapi sebenarnya tidak. Ia merupakan sindiran kepada seseorang.

          Dunia sekarang ini dipenuhi dengan ungkapan untunglah. Seiring dengan kemajuan teknologi, ianya pantas tersebar bagaikan virus komputer. Dengan adanya alat elektronik canggih seperti Iphone, Ipad, Laptop dengan kepantasan i3, i5 dan i7 serta bermacam-macam alat lagilah yang bermula dengan huruf i maka orang ramai pasti berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Ada golongan yang mampu mendapatkannya dengan mudah. Maka begitu jugalah mudahnya perkataan untunglahkeluar dari mulut-mulut orang yang juga menginginkan alat-alat ini.

Untunglah ada Iphone!

Wah, dah ada Galaxy Tab! Untunglah.

Banyak duit boleh beli semua benda, untunglahawak.

Dia dapat kahwin anak Dato’? untunglah.

          [Jika diikutkan hati yang tengah panas, mahu saja kita membalas;'kasihannya awak tak boleh dapat semua tu...'(tapi mana mungkin orang sebaik kita mahu mengatakan sedemikian kerana kita sentiasa ingat bahawa sabar itu separuh daripada iman)]

          Betapa berleluasanya penggunaan untunglah. Kelihatan seperti menggembar-gemburkan keuntungan orang lain. Cerita sedikit, tetapi sambutan banyak. Tidak dinafikan juga ada yang berasa bengang dan tersinggung dengan ungkapan sedemikian. Kerana ada yang menggunakan perkataan ini untuk mengejek, iaitu yang menggunakannya tidak kena pada tempat dan waktunya. Contohnya;

Seorang wanita berkunjung ke rumah rakannya yang sudahpun mempunyai lima orang anak.

Siti: Wah, Fatimah, bukan main meriah rumah kau semenjak dah ada lima orang anak. Aku ni seorang pun tak ada lagi. Untunglah orang tu ada ramai anak (dengan nada sinis).

Fatimah: Untung? Ingat tak sakit beranak?

          Begitulah lumrah lumrah hidup manusia, terkadang terkilan oleh dek panahan kata-kata. Tetapi usah berkecil hati usah bersedih. Kepada sesiapa yang sering dihujani dengan perkataan untunglah, terimalah ia secara positif dan dengan hati yang tenang. Apabila cukup 40 orang mengatakan untunglah kepada anda maka beruntunglah anda kerana ia merupakan doa kepada anda agar benar-benar mendapat untung dalam kehidupan. Sentiasalah beringat, bahasa itu cerminan peribadi J

Diari 24: KBAI!


“KBAI” Pernah mendengar perkataan ini? Saya sering terbaca komen sedemikian di facebook seperti;

Esok ada perjumpaan kelas, semua dikehendaki hadir! Kbai!

Semakin ramai yang menggunakan perkataan ini semakin saya tertanya-tanya, kenapa perlu tulis KBAI?

          Remaja sekarang ini termasuklah golongan dewasa yang masih perasan diri masih remaja cenderung menggunakan perkataan ini. Ada yang berpendapat maksud Kbai ialah;


 


Ya, singkatan yang diambil daripada perkataan bahasa Inggeris. Ini bermakna orang yang menulis perkataan kbai di hujung ayatnya tidak kiralah dalam facebook mahupun dalam SMS, mereka mungkin tidak mahu komen, status, mesej mereka ataupun yang sewaktu dengannya dipersoalkan lagi. Oleh itu, boleh dikatakan kbai sama ertinya dengan bahasa Melayuà sekian dan jumpa lagi. Contohnya;

Esok ada perjumpaan kelas, semua dikehendaki hadir! Kbai! à
Esok ada perjumpaan kelas, semua dikehendaki hadir! Sekian dan jumpa lagi.

Nampaknya adalah lebih molek menggunakan ungkapan sekian dan jumpa lagi berbanding kbai. Setuju tidak? (saya setuju!)

Tetapi ada juga orang yang berpendapat;



Kita lihat pandangan yang lain pula;



Walau apapun pandangan orang terhadap penggunaan kbai semuanya adalah atas hak masing-masing. Namun seelok-eloknya gunakanlah bahasa kita bahasa Melayu sebagai tanda kita bangga terhadap bahasa kita. Kalau bukan kita sebagai anak jati Malaysia, siapa lagi?

Thursday 1 November 2012

Diari 23: Anda Sihat?


Pernah tak anda mendapat pujian seperti:

Wah! Semakin sihatlah awak?

          Ramai yang mengetahui maksud disebalik ungkapan ini. Tetapi ada juga yang masih tertanya-tanya mengapa mereka menerima pujian sedemikian sedangkan muka mereka kelihatan kusam, bermata kuyu dan badan lemah-gemalai. Jika diterjemah maksud sebenar ungkapan di atas, maknanya orang yang ditujukan pujian itu sebenarnya agak berisi. Ungkapan tersebut adalah untuk menggantikan;

Wah! Semakin berisi/gemuklah awak!

          Kebanyakkan orang Melayu sekarang lebih selesa menggunakan perkataan sihat untuk menggantikan maksud gemuk/berisi untuk tidak menyinggung perasaan orang yang ditujukan makna itu. Mungkin ada juga yang berkecil hati tetapi tidaklah terlalu terasa sangat berkecil hati kerana orang yang menujukan makna itu tidak terlalu berterus terang. Bayangkan jika ada orang yang menyapa anda seperti:

Eh! Awak gemuklah!

          Sudah tentu anda akan berasa tersinggung kerana mengkritik fizikal anda secara terang-terangan dan mungkin juga anda ingin memberi buku lima kepada orang itu? Siapa tahu? Oleh itu, gunakanlah istilah yang lebih sopan sekiranya hendak mengkritik pun.

Diari 22: Dialek Kelantan: Teman Wanita


Masih terbayang-bayang percutian di Kelantan walaupun sekejap sahaja. Mungkin tertarik dengan dialek yang digunakan atau mungkin juga MAKANANNYA. J

          Saya masih teringat waktu mula-mula sampai di rumah rakan saya yang terletak di Jeli di Daerah Melintang. Dari UMK terus ke rumahnya. Dia dan sepupunya mengambil saya dari UMK dengan kereta Honda. Kebetulan sepupunya ialah lelaki dalam lingkungan umur saya dan sangat mesra dengan sesiapa sahaja membuatkan saya tidak kekok sepanjang perjalanan yang mengambil masa setengah jam itu.

          Sebaik sahaja sampai di rumah rakan saya, kelihatan ramai sanak-saudaranya menunggu di halaman rumah. Terasa bagaikan artis disambut dengan peminat-peminat. Saya menghulur tangan untuk bersalaman dengan mereka satu-persatu kemudian kedengaran bunyi-bunyi yang agak mencuit hati daripada sepupu rakan saya itu;

Sepupu: wah! Gewe abe dah sapai! Comey gewe abe!

Bahasa Melayu baku: Wah! Teman wanita abang dah sampai! CANTIK TEMAN WANITA ABANG!

          Saya tersenyum bukan kerana tidak faham tetapi sangat memahami maksud tersebut. Abe yang dimaksudkannya ialah lelaki yang bersama-sama rakan saya tadi. Abe itu pun turut tersipu-sipu malu tanpa berkata apa-apa. Mereka menyangka saya teman wanita abe empunya Honda itu. Hendak menafikan, segan terasa. Jadi saya biarkan sahaja usikan itu untuk memeriahkan suasana. Hal ini membuatkan saya tertarik untuk menguasai dialek Kelantan kerana rasa gembira dan puas hati sekiranya kita mampu memahami apa yang mereka katakan apatah lagi dapat berkomunikasi dengan mereka dengan menggunakan dialek mereka.

Diari 21: Cina dan India Semasa Bekerja


Semalam saya dan rakan saya ke pekan Tanjung Malim untuk membeli barang keperluan semasa cuti pertengahan semester ini. Sampai sahaja di pekan kami menuju ke pusat farmasi berhampiran iaitu Bond Mega Pharmacy. Kami hanya mahu melihat-lihat ubat-ubatan yang terdapat di sana.

          Sebaik sahaja masuk seorang wanita India dalam lingkungan 30an dan montel menyapa kami:

Pekerja A: Nak cari apa adik?
Saya: kami hanya mahu melihat-lihat sahaja.
Pekerja A: ok

Kemudian kami pun pergi ke sudut lain kerana lama diperhatikan pekerja tersebut. Datang pula seorang wanita India yang lain menyapa kami lagi. Kali ini wanita India ini berbadan kurus.

Pekerja B: Cari apa tu dik?
Saya: Kami mahu lihat-lihat dulu.

          Saya terpandang satu produk kesihatan untuk wanita di sebalik kaca. Kemudian meminta penjelasan wanita India kurus itu tentang produk tersebut. Dia dengan ramahnya mengambil produk kesihatan itu dan memberi saya lihat sambil menjelaskan. Namun penjelasan itu tidak cukup buat saya. Kemudian dia pun meminta seorang tauke Cina yang berlalu di situ untuk menjelaskannya. Tauke Cina tersebut sedang menulis sesuatu.

Pekerja B: Amoi awak tolong bagi tahu dia apa fungsi produk ni.

Tauke Cina itu terdiam tanpa mempedulikan pekerjanya. Kami menanti dengan penuh sabar. Agak lama menanti dia bersuara.

Tauke: Tak nampak ke saya sedang sibuk? (sambil tangannya ligat menulis tak tahu apa yang ditulisnya)
Pekerja B: (terdiam) Tak apalah adik, mungkin dalam kotak produk ni ada pamplet.

Saya hanya mengangguk sahaja. Kemudian saya tercari-cari ada berapa paket ubat yang terkandung dalam kotak produk tersebut. Pekerja tersebut juga mencari tetapi tidak jumpa. Kemudian dia pun menyerahkan kotak tersebut kepada tauke Cina yang berada di kaunter. Kelihatan tauke Cina tersebut seperti tidak mempedulikan pekerja mereka sehinggalah saya datang bertanyakan sendiri. Tauke Cina itu memanggil pekerja tersebut;

Tauke: ini pun awak tak tau cari ka? Kan saya sudah cakap lain kali tengok betul-betul, jangan memandai-mandai! (memarahi pekerjanya)

Pekerja itu terdiam tanpa memberikan sebarang respon kerana malu dengan apa yang diperkatakan oleh tauke itu. Dan kelihatan dia berasa kecil hati. Dia kemudian pergi ke sudut lain agar tidak dimarahi lagi.

          Rasa kasihan pula dengan pekerja India tersebut kerana dia kelihatan bersungguh-sungguh untuk bekerja namun kemungkinan semangatnya patah apabila dilayan sedemikian. Bagi saya, tauke tersebut tidak sepatutnya melayan pekerjanya di hadapan pelanggan seperti apa yang berlaku tadi. Sekiranya ada masalah maka jangan dibawa semasa bekerja. Selesaikan di luar waktu bekerja kerana ianya mungkin akan mengganggu perniagaan yang dijalankan. Sekurang-kurangnya bersopanlah di hadapan pelanggan. Janganlah memalukan pekerja sendiri. Tunjukkanlah contoh yang baik terhadap pekerja mahupun pelanggan. Sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya berbudi bahasa tidak kira bangsa dan warna kulit.

Diari 20: Bercuti di Kelantan


Pada cuti hari raya aidiladha semester ini saya telah membuat keputusan untuk menyertai rakan untuk bercuti di Kelantan. Perjalanan dari Tanjung Malim ke Kota Bharu Kelantan mengambil masa lebih kurang lapan jam dan hal ini sudah tentu membuatkan badan kita terasa sangat lenguh (betul!). Apa yang mengujakan semasa perjalanan tersebut adalah apabila kami terpaksa bertukar bas kerana bas yang kami naiki itu rosak dan terpaksa berhenti di tepi jalan.
Kota Bharu Kelantan

          Walau apapun yang berlaku perasaan teruja untuk ke tempat jauh masih lagi terasa. Sampai di Kota Bharu, pergi pula ke Jeli untuk melawat adik yang belajar di UMK. Sambutan hari raya aidiladha di Kelantan sememangnya meriah. Tetapi apa yang pasti tinggal di Kelantan boleh menggemukkan!

          Teringat saya sewaktu mula-mula bertemu dengan keluarga rakan saya di Jeli. Keluarganya kelihatan senang dengan kedatangan saya. Kemudian si ibu bertanya perihal adik saya yang sedang belajar di tempat mereka;

Si ibu; adik jate betino?

Saya; (dahi berkerut cuba untuk memahami maksudnya)

Rakan saya; mak tanya adik lelaki atau perempuan?

Saya; oh, perempuan.

Si ibu mengangguk. Memang mudah untuk difahami jika dibaca tetapi apabila mendengar perkataan itu diungkapkan agak sukar untuk difahami. Mujurlah ada rakan untuk menterjemah.

          Setelah mengetahui maksud perkataan tersebut maka saya dengan selambanya menjawab pertanyaan yang sama yang diajukan oleh mak cik dan pakcik rakan saya.

          Jate betino jika diterjemah terus ke dalam bahasa Melayu akan menjadi à jantan betina yang digunakan untuk mengklasifikasikan jantina bagi haiwan. Tetapi dalam bahasa Melayu bagi manusia tidak dikategorikan sebagai jantan betina kerana ianya boleh dianggap bahasa kasar yang mungkin akan menyinggung perasaan. Apabila mendengar dialek Kelantan mengungkapkan perkataan sedemikian kita tidak akan merasakan istilah yang mereka gunakan itu kasar kerana dari segi intonasi dan nada yang bersahaja menunjukkan tidak terdapatnya unsur yang boleh menyinggung perasaan orang.

          Ada waktu ketika ahli sekeluarga mereka berbual-bual dalam dialek Kelantan, saya hanya mampu tersenyum dan mengangguk sambil menumpukan perhatian apa yang dibualkan oleh mereka meskipun sepatah haram saya tidak faham. Tetapi saya pasti dapat memahami dialek Kelantan sekiranya tinggal lebih lama  di sana. Oleh kerana tugasan sudah memanggil maka terpaksalah berangkat pulang ke kolej lebih awal.