Tuesday, 25 September 2012

Diari 1: Kerana Bahasa Cerminan Peribadi

Assalamualaikum

"Kerana Bahasa Cerminan Peribadi", demikianlah slogan yang telah tercipta dari minda saya setelah bertungkus-lumus menghasilkan laman sesawang berbentuk diari ini. Ternyata, penghasilan blog ini tidaklah semudah yang disangkakan. Anggapan saya pada mulanya ternyata salah. Mendengarkan tutorial dari sahabat-sahabat setia blog memberikan saya sedikit sebanyak gambaran tentang cara untuk menghasilkan blog.
           Penghasilan blog yang sepatutnya hanya memerlukan beberapa minit sahaja telah menjadikan berjam-jam bagi saya yang boleh dikatakan ketandusan ilmu teknologi ini. Alhamdulillah berkat kesabaran dan tunjuk ajar sahabat, wujudlah blog "Kerana Bahasa Cerminan Peribadi".
           Bahasa adalah alat komunikasi sesama manusia. Namun kerana bahasa jugalah, kita akan berasa sangat kekurangan dan berasa kosong. Apabila kita tidak faham tentang sesuatu bahasa yang diungkapkan oleh seseorang sudah tentunya kita akan berasa sangat kosong. Iaitu tidak ada sebarang perbendaraan kata yang terlintas dalam fikiran kita untuk memahami maksud yang hendak disampaikan orang tersebut melainkan ekspresi dan bahasa tubuhnya sahaja. Demikian jugalah apa yang telah terjadi kepada empunya nukilan ini, yang cuba memahami langkah demi langkah dalam penghasilan blog yang menggunakan bahasa Inggeris.
            Bahasa juga melambangkan peribadi seseorang seperti dalam peribahasa "kerana mulut badan binasa". Empat perkataan tersebut sudah cukup memberi gambaran mengapa bahasa melambangkan peribadi seseorang. Mulut yang merupakan alat artikulasi bagi kita untuk berbahasa. Persoalannya, mengapa mulut boleh menyebabkan badan binasa? Kerana kita boleh mengungkapkan sesuatu yang boleh menusuk jiwa mahupun menembusi jiwa sehingga membangkitkan emosi seseorang itu.
             Oleh itu, seharusnya kita sebagai golongan yang memartabatkan bahasa sebagai jiwa bangsa mesti menjaga setiap tutur kata kita agar kita sentiasa dihormati. Kerana bahasa itu cerminan keperibadian yang unggul. Sekian...

No comments:

Post a Comment