Lazimnya agak sukar untuk kita
kaitkan pensyarah dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ini. Pastinya dalam fikiran
kita menghantar SMS kepada pensyarah bagaikan menghantar aduan penduduk kampung
kepada pegawai daerah yang agak berisiko sama ada berjaya diusulkan ataupun
dibiarkan begitu sahaja.
Dalam
kesibukan saya menjalani hari yang memerlukan empat lokasi yang berbeza bagi
empat kelas, ada juga selingan daripada pensyarah bahasa Inggeris saya yang
membuatkan saya berfikir sejenak. Sebenarnya telah dua kali pensyarah
bahasa Inggeris saya menceritakan perkara yang sama. Beliau menyatakan bahawa
beliau sering menerima SMS yang bermula dengan ‘Gd A.m’ daripada pelajarnya.
Pada mulanya beliau tertanya-tanya apakah makna di sebalik ‘Gd A.m’? Setelah
beberapa kali menerima mesej yang dimulai dengan ‘Gd A.m’, beliau pun mengambil
inisiatif untuk bertanya kepada rakannya kerana agak mustahil untuk seorang
pensyarah mahu bertanya kepada pelajar tersebut perihal makna di sebalik sapaan
remeh lagi misteri itu.
Setelah
bertanya kepada rakan seangkatan dengannya, barulah beliau mengetahui makna
kata sapaan itu. ‘Gd A.m’ merujuk kepada ‘Good Morning’ iaitu ‘a.m’ yang sering
digunakan untuk menyatakan jam pada waktu pagi. Penangan SMS sapaan yang
diterima oleh pensyarah Bahasa Inggeris yang agak comel ini membuatkan dirinya
juga telah terpengaruh untuk mengaplikasikan sapaan itu kepada rakan-rakannya
yang lain.
Meskipun
kata sapaan ‘Gd A.m’ agak bergaya (Stylo) bagi generasi muda-mudi zaman ini,
namun seharusnya kita lebih peka akan status penerima mesej tersebut . Apa
salahnya menghantar kata sapaan penuh ‘
Good morning’ kepada golongan pendidik kita sebagai tanda kita berbahasa dengan
betul dan sebagai tanda kita membataskan diri kita sebagai pelajar kepada
golongan ini. Walaupun ianya kelihatan agak skema menghantar SMS yang sangat
teratur dari segi ejaan dan tatabahasa namun inilah sebenarnya yang
menggambarkan peribadi si penghantar mesej. Baik budinya maka baiklah bahasanya.
Oleh itu, peringatan kepada empunya nukilan ini dan rakan-rakan, betulkan yang
biasa dan biasakanlah yang betul.