Showing posts with label Teknologi. Show all posts
Showing posts with label Teknologi. Show all posts

Friday, 2 November 2012

Diari 25: Untunglah... Untunglah...


Kebiasaanya perkataan untunglah cenderung digunakan oleh kaum wanita. Jarang sekali kita dengar perkataan ini dari kaum lelaki. Hal ini kerana wanita lebih bijak berkias daripada kaum lelaki. Apabila kita memberitahu berita gembira kepada rakan-rakan. Ada antaranya yang;

Rakan: untunglah dapat masuk UPSI...

          Cuba kita tafsir makna perkataan itu daripada perspektif perasaan si penyampai. Kelihatan ada nada-nada cemburu kan? Ada antara kita yang menyangka penggunaan perkataan untunglah adalah untuk memuji. Tetapi sebenarnya tidak. Ia merupakan sindiran kepada seseorang.

          Dunia sekarang ini dipenuhi dengan ungkapan untunglah. Seiring dengan kemajuan teknologi, ianya pantas tersebar bagaikan virus komputer. Dengan adanya alat elektronik canggih seperti Iphone, Ipad, Laptop dengan kepantasan i3, i5 dan i7 serta bermacam-macam alat lagilah yang bermula dengan huruf i maka orang ramai pasti berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Ada golongan yang mampu mendapatkannya dengan mudah. Maka begitu jugalah mudahnya perkataan untunglahkeluar dari mulut-mulut orang yang juga menginginkan alat-alat ini.

Untunglah ada Iphone!

Wah, dah ada Galaxy Tab! Untunglah.

Banyak duit boleh beli semua benda, untunglahawak.

Dia dapat kahwin anak Dato’? untunglah.

          [Jika diikutkan hati yang tengah panas, mahu saja kita membalas;'kasihannya awak tak boleh dapat semua tu...'(tapi mana mungkin orang sebaik kita mahu mengatakan sedemikian kerana kita sentiasa ingat bahawa sabar itu separuh daripada iman)]

          Betapa berleluasanya penggunaan untunglah. Kelihatan seperti menggembar-gemburkan keuntungan orang lain. Cerita sedikit, tetapi sambutan banyak. Tidak dinafikan juga ada yang berasa bengang dan tersinggung dengan ungkapan sedemikian. Kerana ada yang menggunakan perkataan ini untuk mengejek, iaitu yang menggunakannya tidak kena pada tempat dan waktunya. Contohnya;

Seorang wanita berkunjung ke rumah rakannya yang sudahpun mempunyai lima orang anak.

Siti: Wah, Fatimah, bukan main meriah rumah kau semenjak dah ada lima orang anak. Aku ni seorang pun tak ada lagi. Untunglah orang tu ada ramai anak (dengan nada sinis).

Fatimah: Untung? Ingat tak sakit beranak?

          Begitulah lumrah lumrah hidup manusia, terkadang terkilan oleh dek panahan kata-kata. Tetapi usah berkecil hati usah bersedih. Kepada sesiapa yang sering dihujani dengan perkataan untunglah, terimalah ia secara positif dan dengan hati yang tenang. Apabila cukup 40 orang mengatakan untunglah kepada anda maka beruntunglah anda kerana ia merupakan doa kepada anda agar benar-benar mendapat untung dalam kehidupan. Sentiasalah beringat, bahasa itu cerminan peribadi J

Diari 24: KBAI!


“KBAI” Pernah mendengar perkataan ini? Saya sering terbaca komen sedemikian di facebook seperti;

Esok ada perjumpaan kelas, semua dikehendaki hadir! Kbai!

Semakin ramai yang menggunakan perkataan ini semakin saya tertanya-tanya, kenapa perlu tulis KBAI?

          Remaja sekarang ini termasuklah golongan dewasa yang masih perasan diri masih remaja cenderung menggunakan perkataan ini. Ada yang berpendapat maksud Kbai ialah;


 


Ya, singkatan yang diambil daripada perkataan bahasa Inggeris. Ini bermakna orang yang menulis perkataan kbai di hujung ayatnya tidak kiralah dalam facebook mahupun dalam SMS, mereka mungkin tidak mahu komen, status, mesej mereka ataupun yang sewaktu dengannya dipersoalkan lagi. Oleh itu, boleh dikatakan kbai sama ertinya dengan bahasa Melayuà sekian dan jumpa lagi. Contohnya;

Esok ada perjumpaan kelas, semua dikehendaki hadir! Kbai! à
Esok ada perjumpaan kelas, semua dikehendaki hadir! Sekian dan jumpa lagi.

Nampaknya adalah lebih molek menggunakan ungkapan sekian dan jumpa lagi berbanding kbai. Setuju tidak? (saya setuju!)

Tetapi ada juga orang yang berpendapat;



Kita lihat pandangan yang lain pula;



Walau apapun pandangan orang terhadap penggunaan kbai semuanya adalah atas hak masing-masing. Namun seelok-eloknya gunakanlah bahasa kita bahasa Melayu sebagai tanda kita bangga terhadap bahasa kita. Kalau bukan kita sebagai anak jati Malaysia, siapa lagi?

Tuesday, 9 October 2012

Diari 11: Bahasa Seiring Teknologi


Bahasa kini  bergerak seiring dengan teknologi. Contohnya dalam penggunaan Facebook.
 

Facebook versi bahasa Inggeris

Kita lihat versi bahasa ibunda kita pula:

 

Nampaknya, tidak sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu. Masih ada terselit bahasa Inggeris. Adakah ini percampuran kod? Ya! Maklumlah Facebook bukan diasaskan oleh orang Malaysia. Bayangkan jika kita anak jati Malaysia mengasaskan Muka Buku ini:
Facebook versi Negeri Sembilan
 
 

Facebook versi Kedah

          Kreatif bukan orang-orang kita mengubahsuai Facebook dalam pelbagai versi? Malah ada banyak versi lagi yang terdapat di Malaysia menggunakan dialek yang berbeza mengikut negeri mereka. Inilah usaha orang-orang kita untuk memartabatkan dialek masing-masing agar tidak hilang ditelan zaman meskipun dunia semakin moden. Tahniah!

Wednesday, 26 September 2012

Diari 2: Pensyarah dan SMS




Lazimnya agak sukar untuk kita kaitkan pensyarah dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ini. Pastinya dalam fikiran kita menghantar SMS kepada pensyarah bagaikan menghantar aduan penduduk kampung kepada pegawai daerah yang agak berisiko sama ada berjaya diusulkan ataupun dibiarkan begitu sahaja.
          Dalam kesibukan saya menjalani hari yang memerlukan empat lokasi yang berbeza bagi empat kelas, ada juga selingan daripada pensyarah bahasa Inggeris saya yang membuatkan saya berfikir sejenak. Sebenarnya telah dua kali pensyarah bahasa Inggeris saya menceritakan perkara yang sama. Beliau menyatakan bahawa beliau sering menerima SMS yang bermula dengan ‘Gd A.m’ daripada pelajarnya. Pada mulanya beliau tertanya-tanya apakah makna di sebalik ‘Gd A.m’? Setelah beberapa kali menerima mesej yang dimulai dengan ‘Gd A.m’, beliau pun mengambil inisiatif untuk bertanya kepada rakannya kerana agak mustahil untuk seorang pensyarah mahu bertanya kepada pelajar tersebut perihal makna di sebalik sapaan remeh lagi misteri itu.
          Setelah bertanya kepada rakan seangkatan dengannya, barulah beliau mengetahui makna kata sapaan itu. ‘Gd A.m’ merujuk kepada ‘Good Morning’ iaitu ‘a.m’ yang sering digunakan untuk menyatakan jam pada waktu pagi. Penangan SMS sapaan yang diterima oleh pensyarah Bahasa Inggeris yang agak comel ini membuatkan dirinya juga telah terpengaruh untuk mengaplikasikan sapaan itu kepada rakan-rakannya yang lain.    
          Meskipun kata sapaan ‘Gd A.m’ agak bergaya (Stylo) bagi generasi muda-mudi zaman ini, namun seharusnya kita lebih peka akan status penerima mesej tersebut . Apa salahnya menghantar kata sapaan penuh  ‘ Good morning’ kepada golongan pendidik kita sebagai tanda kita berbahasa dengan betul dan sebagai tanda kita membataskan diri kita sebagai pelajar kepada golongan ini. Walaupun ianya kelihatan agak skema menghantar SMS yang sangat teratur dari segi ejaan dan tatabahasa namun inilah sebenarnya yang menggambarkan peribadi si penghantar mesej. Baik budinya maka baiklah bahasanya. Oleh itu, peringatan kepada empunya nukilan ini dan rakan-rakan, betulkan yang biasa dan biasakanlah yang betul.