Thursday, 18 October 2012

Diari 18: Kanak-kanak yang Pandai Berbahasa


Masih ingat lagikah kes penculikan dan pembunuhan Dirang pada Mac lalu? rupa-rupanya dalang di sebalik semua ini ialah seorang bekas anggota tentera. Ugutan dihantar melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada keluarga Dirang. SMS tersebut pula ditulis sendiri oleh anak seorang bekas anggota tentera itu.


          Lihat, betapa tersusunnya ayat kanak-kanak berusia 11 tahun ini. Walaupun kata nama tidak menggunakan huruf besar tetapi isinya masih boleh difahami. Untuk perkara yang negatif yang berbentuk jenayah pun mereka masih boleh berbahasa dengan betul tapi kenapa tidak dalam perkara yang positif? Walau bagaimanapun, apa yang telah terjadi kepada Dirang sememangnya disifatkan sungguh tidak berperikemanusiaan. Meskipun menggunakan bahasa yang betul, namun hukuman tetap hukuman.

 

 

 

Diari 17: Kita 1Malaysia


Pada pendapat anda, adakah seruan untuk menyemarakkan dasar 1Malaysia sudah berjaya pada hari ini? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Idea ini terlintas semasa saya menaiki bas untuk balik ke kolej sebaik sahaja kelas akhir pada hari ini selesai.

          Apabila melangkah masuk, kelihatan pemandu bas ataupun lebih dikenali sebagai Pak Cik India yang baik hati sedang tidur nyenyak di kerusi barisan hadapan. Rasa sedikit kasihan pun ada juga kerana mungkin juga pak cik ini keletihan memandu dari awal pagi hingga ke petang. Pak cik ini sememangnya dikenali dengan sikap peramahnya kerana beliau sanggup membalas ucapan terima kasih oleh ramai pelajar yang menaiki bas.

          Selepas beberapa minit, pak cik bas ini pun bangun dan terus kembali ke kerusi pemandu, bersedia untuk menjalankan tugasnya semula. Kemudian beliau terus memasang radio dengan volum yang cukup jelas untuk didengar oleh semua pelajar dalam bas. Rupanya radio bahasa Tamil. Terasa bagaikan berada di Negara India pada ketika itu. Kepala pusing kerana tidak memahami sepatah haram pun apa yang diperkatakan.

          Ini bukanlah pertama kali berlaku, malah ada ramai pemandu bas berbangsa India memperdengarkan radio dan lagu-lagu bahasa Tamil yang langsung tidak difahami oleh pelajar berbangsa lain terutamanya saya. Hal ini sentiasa berlaku, mungkin juga tiada yang menegur. Sedangkan yang menaiki bas tersebut majoriti orang Melayu.

          Sewajarnya pasanglah radio bahasa Melayu yang difahami oleh semua. Kerana kita 1Malaysia maka gunakanlah bahasa Kebangsaan kita. J

Monday, 15 October 2012

Diari 16: FAHAM Cikgu!


Cara terbaik yang disangkakan oleh murid-murid untuk mengelakkan cikgu berceloteh panjang lebar:

Situasi 1

Cikgu: Faham murid-murid?

Murid-murid: Faham cikgu!

Cikgu: Bagus murid-murid.

 

Situasi 2

Cikgu: Murid-murid faham?

Murid-murid: Faham cikgu!

Cikgu: Baiklah, apa yang kamu faham?

Murid-murid: Err… (Menggelabah)

 

Situasi 3

Cikgu: Faham murid-murid?

Murid-murid: Tak cikgu. (sambil menggelengkan kepala)

Cikgu: Bahagian mana kamu tak faham?

Murid-murid: Semua cikgu.

Cikgu: ………. Baiklah…… L

 

Situasi 4

Setelah beberapa kali cikgu menjelaskan topik yang sama;

Cikgu: Baiklah murid-murid, sekarang dah faham?

Murid-murid: Tak faham lagilah cikgu.

Cikgu: Tak kan tak faham-faham lagi!? Dah banyak kali cikgu ulang tahu tak… bla… bla… bla…

          Pengajaran di sini, berhati-hati dengan pertanyaan yang melibatkan kefahaman pelajar. Apabila kita boleh mentafsir bahasa tubuh murid-murid maka tidak perlulah kita bertanya lagi kerana ianya boleh menggugat kesabaran kita sendiri sekiranya jawapan yang diberikan tidak seperti apa yang kita harapkan.

Diari 15: Apabila Kelas Batal





Mengapa pelajar gembira apabila kelas dibatalkan? Apabila kelas batal, masa yang ada boleh digunakan untuk balik ke tempat kediaman masing-masing merehatkan minda, melayari laman web dan yang paling disukai ramai ialah tidur. Situasi semasa pengumuman kelas dibatalkan;
Pensyarah: Perhatian kepada semua, kelas pada minggu depan dibatalkan. Oleh itu, gunakanlah masa yang ada untuk menyiapkan tugasan masing-masing.

Pelajar: Laaa, kenapa batal dr.? tak best lah kalau macam tu.

Pensyarah: Tak payahlah tanya kenapa, saya tahu kamu suka kelas batal.

          Kelihatan pensyarah itu sangat memahami karenah pelajarnya. Daripada soalan yang diajukan oleh pelajar, pensyarah sudah boleh mengesan reaksi sebenar pelajar. Kerana apa yang difikirkan oleh seseorang tidak semestinya boleh digambarkan dengan kata-kata tetapi dengan bahasa tubuhnya juga. Tetapi ada juga pensyarah yang agak bijak bermain dengan situasi;

Pensyarah: Esok kelas batal ye semua.

Pelajar: Kenapa pula dr.? Tak suka lah kelas batal. (sambil tersengih-sengih kegembiraan)

Pensyarah: Oh, kalau macam tu, kelas tak jadi batal. Semua kena datang kelas esok.

Pelajar: Alamak! (kecewa)

          Oleh itu, bahasa tubuh perlu digunakan bersesuaian dengan kata-kata yang hendak diungkapkan. Ataupun dengan kata lain, belajarlah menggunakan bahasa tubuh dengan sebaiknya untuk meyakinkan orang lain.


 

Diari 14: Pemandu Bas dan Kita


…Kesinambungan daripada kisah 'Bas dan Pelajar UPSI'…

Semasa hendak keluar dari bas pula ada sesetengah pelajar itu langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada si pemandu bas. Adakah si pemandu bas akan berasa kecil hati? Hanya Tuhan dan dia sahaja yang tahu. Namun ada juga kelompok pelajar yang rajin berterima kasih kepada si pemandu bas yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab:

Pelajar A: Terima kasih pak cik.

Pelajar B: Thank you uncle.

Pelajar C: (ucapan dalam bahasa Tamil)

          Ini merupakan amalan yang baik daripada pelajar yang baik. Kita lihat reaksi si pemandu bas pula:

Pemandu bas A: sama-sama

Pemandu bas B: sama-sama (tersenyum mesra yang sangat mesra sambil merenung kita)

Pemandu bas C: (mengangguk sahaja)

Pemandu bas D: (tidak melayan pelajar)

          Berdasarkan reaksi pemandu bas A, B, C dan D itu mungkin akan timbul pelbagai spekulasi negatif. Kita mungkin akan berfikir bahawa pemandu bas B seorang yang gatal dan pemandu bas D seorang yang sombong. Atau mungkinkah si pemandu bas ini menantikan suatu kelainan daripada ucapan kita, seperti;

Pelajar A, B dan C: Terimalah kuih ini pak cik. J

          Tidak mustahil bukan? Siapa yang mahu tolak rezeki?

Walau apa pun reaksi pemandu bas itu, jadikanlah amalan baik seperti mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas satu amalan yang baik kerana tugas mereka sebenarnya bukanlah mudah seperti yang kita sangkakan.

Diari 13: Bas dan Pelajar UPSI


Seperti hari-hari biasa, pelajar UPSI akan sentiasa mengejar bas untuk ke kelas masing-masing. Di sini semangat juang yang tinggi akan kelihatan dengan jelas sekali sebaik sahaja pintu bas terbuka. Masing-masing berhimpit-himpit, beresak-esakan untuk mendapatkan tempat di dalam bas yang dilengkapi dengan penghawa dingin. Setelah berjaya mendapatkan tempat, berjuang pula untuk keluar dahulu sambil membelakangkan orang-orang yang letih berdiri sepanjang perjalanan. Tanpa mengucapkan terima kasih  apabila dberi ruang dan peluang keluar dahulu dan tanpa mengucapkan maaf apabila memotong barisan pelajar yang sedang berdiri sepanjang perjalanan. Adakah ini sesuatu yang wajar dicontohi? Perkara sedemikian sudah semakin lazim dalam kalangan pelajar UPSI. Sekurang-kurangnya dahulukanlah pelajar-pelajar yang penat berdiri untuk melangkah keluar dahulu sebelum kita yang senang-lenang duduk di bawah penghawa dingin bas melangkah. Bersikap matanglah kerana kita bukan lagi kanak-kanak yang perlu diajar tentang adab tatatertib.

Wednesday, 10 October 2012

Diari 12: Papan Tanda dan Kain Rentang


Papan tanda ataupun kain rentang yang dihias cantik boleh menarik perhatian pemandu, penunggang dan pejalan kaki. Kadang-kadang kenyataan pada papan tanda juga sangat menarik perhatian mereka. Contohnya, kesalahan ejaan dan penggunaan istilah yang jarang digunakan.

 
 
Kesalahan ejaan. Tetapi orang awam masih boleh mentafsir makna yang disampaikan. Kesalahan sedemikian mungkin biasa bagi kita. Mari kita lihat yang luar biasa pula.
 
Kesalahan istilah dapat dilihat dalam arahan di atas. Rasionalnya: tidak mungkinlah kita menggunakan cahaya seperti yang ada pada kamera selepas menggunakan tandas. Flash yang dimaksudkan itu ialah flush.


Rupanya  ada juga yang mampu menjual bumi kan? Pembetulan: Earth à Land

Ada sesiapa yang berani menjual gadis?
Sepatutnya Penjual GadisàGadis Penjual. Kesalahan hukum D-M. Mungkin ada yang boleh tersalah tafsir melihat tawaran pada kain rentang tersebut. Sebab itulah kita mesti berhati-hati dalam penggunaan bahasa untuk memberi arahan, amaran mahupun tawaran.