Showing posts with label Adab. Show all posts
Showing posts with label Adab. Show all posts

Thursday, 1 November 2012

Diari 21: Cina dan India Semasa Bekerja


Semalam saya dan rakan saya ke pekan Tanjung Malim untuk membeli barang keperluan semasa cuti pertengahan semester ini. Sampai sahaja di pekan kami menuju ke pusat farmasi berhampiran iaitu Bond Mega Pharmacy. Kami hanya mahu melihat-lihat ubat-ubatan yang terdapat di sana.

          Sebaik sahaja masuk seorang wanita India dalam lingkungan 30an dan montel menyapa kami:

Pekerja A: Nak cari apa adik?
Saya: kami hanya mahu melihat-lihat sahaja.
Pekerja A: ok

Kemudian kami pun pergi ke sudut lain kerana lama diperhatikan pekerja tersebut. Datang pula seorang wanita India yang lain menyapa kami lagi. Kali ini wanita India ini berbadan kurus.

Pekerja B: Cari apa tu dik?
Saya: Kami mahu lihat-lihat dulu.

          Saya terpandang satu produk kesihatan untuk wanita di sebalik kaca. Kemudian meminta penjelasan wanita India kurus itu tentang produk tersebut. Dia dengan ramahnya mengambil produk kesihatan itu dan memberi saya lihat sambil menjelaskan. Namun penjelasan itu tidak cukup buat saya. Kemudian dia pun meminta seorang tauke Cina yang berlalu di situ untuk menjelaskannya. Tauke Cina tersebut sedang menulis sesuatu.

Pekerja B: Amoi awak tolong bagi tahu dia apa fungsi produk ni.

Tauke Cina itu terdiam tanpa mempedulikan pekerjanya. Kami menanti dengan penuh sabar. Agak lama menanti dia bersuara.

Tauke: Tak nampak ke saya sedang sibuk? (sambil tangannya ligat menulis tak tahu apa yang ditulisnya)
Pekerja B: (terdiam) Tak apalah adik, mungkin dalam kotak produk ni ada pamplet.

Saya hanya mengangguk sahaja. Kemudian saya tercari-cari ada berapa paket ubat yang terkandung dalam kotak produk tersebut. Pekerja tersebut juga mencari tetapi tidak jumpa. Kemudian dia pun menyerahkan kotak tersebut kepada tauke Cina yang berada di kaunter. Kelihatan tauke Cina tersebut seperti tidak mempedulikan pekerja mereka sehinggalah saya datang bertanyakan sendiri. Tauke Cina itu memanggil pekerja tersebut;

Tauke: ini pun awak tak tau cari ka? Kan saya sudah cakap lain kali tengok betul-betul, jangan memandai-mandai! (memarahi pekerjanya)

Pekerja itu terdiam tanpa memberikan sebarang respon kerana malu dengan apa yang diperkatakan oleh tauke itu. Dan kelihatan dia berasa kecil hati. Dia kemudian pergi ke sudut lain agar tidak dimarahi lagi.

          Rasa kasihan pula dengan pekerja India tersebut kerana dia kelihatan bersungguh-sungguh untuk bekerja namun kemungkinan semangatnya patah apabila dilayan sedemikian. Bagi saya, tauke tersebut tidak sepatutnya melayan pekerjanya di hadapan pelanggan seperti apa yang berlaku tadi. Sekiranya ada masalah maka jangan dibawa semasa bekerja. Selesaikan di luar waktu bekerja kerana ianya mungkin akan mengganggu perniagaan yang dijalankan. Sekurang-kurangnya bersopanlah di hadapan pelanggan. Janganlah memalukan pekerja sendiri. Tunjukkanlah contoh yang baik terhadap pekerja mahupun pelanggan. Sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya berbudi bahasa tidak kira bangsa dan warna kulit.

Thursday, 18 October 2012

Diari 19: Mengimbau Kenangan Lalu


Setiap orang mempunyai kenangan lalu yang tidak dapat dilupakan. Bahkan menjadi pengajaran hingga ke hari ini dan mungkin untuk generasi yang seterusnya. Semasa kecil ibu dan ayah banyak mendidik kita dengan pelbagai cara. Hasil didikan merekalah yang mematangkan kita agar kita boleh menjaga diri kelak. Agar mereka tidak perlu lagi merasa risau terhadap diri kita.

          Semasa kecil dulu ada di antara kita yang sememangnya sungguh nakal, suka kejar ayam, panjat pokok, jolok sarang tebuan dan sebagainya. Namun ibu bapa mempunyai cara mereka tersendiri mengajar anak mereka ini.

Kisah si anak yang suka panjat pokok Jambu

Ayah: Sudah-sudahlah panjat pokok tu Aiman, nanti tak pasal-pasal Aiman jatuh pula. Kalau jatuh nanti patah kaki tau. Tak boleh jalan.

Aiman: Aiman tak mungkin jatuhlah ayah. Aiman kan Superman (cuba menggapai dahan pokok Jambu)

Ayah: Turunlah Aiman, dah tinggi sangat tu. Atas tu banyak kerengga, kena gigit sakit.

Aiman: Apalah ayah ni, Aiman dah cakap Aiman Superman! Aiman tak takut kerengga! Kerengga yang takut Aiman!

(Tiba-tiba dahan yang cuba digapai oleh Aiman patah, Aiman terjatuh sambil menjerit memanggil ayahnya. Aiman menangis kesakitan)

Ayah: (bergegas menuju ke arah Aiman dengan keadaan risau) Sakit Aiman? (sambil memapah Aiman masuk ke dalam rumah)

Aiman: Sakitlah ayah!

Ayah: Eh, Aiman kan Superman, macam mana boleh jatuh pula? Lain kali naiklah lagi Aiman.

Aiman: Ayah jahat!

Ayah: Itulah, lain kali dengarlah cakap ayah. Jangan nak jadi Superman sangat.

Selepas kejadian itu, kemungkinan besar si anak tidak lagi memanjat pokok. Si ayah pandai bermain dengan kata-kata untuk memberi pengajaran kepada anaknya. Kadang-kadang kita hanya perlu menggunakan bicara halus untuk mengajar anak-anak, bukannya dengan kekerasan. Cara ini dikenali sebagai Reverse Psychology ataupun Psikologi Berbalik. Inilah fungsi bahasa kita J

Monday, 15 October 2012

Diari 14: Pemandu Bas dan Kita


…Kesinambungan daripada kisah 'Bas dan Pelajar UPSI'…

Semasa hendak keluar dari bas pula ada sesetengah pelajar itu langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada si pemandu bas. Adakah si pemandu bas akan berasa kecil hati? Hanya Tuhan dan dia sahaja yang tahu. Namun ada juga kelompok pelajar yang rajin berterima kasih kepada si pemandu bas yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab:

Pelajar A: Terima kasih pak cik.

Pelajar B: Thank you uncle.

Pelajar C: (ucapan dalam bahasa Tamil)

          Ini merupakan amalan yang baik daripada pelajar yang baik. Kita lihat reaksi si pemandu bas pula:

Pemandu bas A: sama-sama

Pemandu bas B: sama-sama (tersenyum mesra yang sangat mesra sambil merenung kita)

Pemandu bas C: (mengangguk sahaja)

Pemandu bas D: (tidak melayan pelajar)

          Berdasarkan reaksi pemandu bas A, B, C dan D itu mungkin akan timbul pelbagai spekulasi negatif. Kita mungkin akan berfikir bahawa pemandu bas B seorang yang gatal dan pemandu bas D seorang yang sombong. Atau mungkinkah si pemandu bas ini menantikan suatu kelainan daripada ucapan kita, seperti;

Pelajar A, B dan C: Terimalah kuih ini pak cik. J

          Tidak mustahil bukan? Siapa yang mahu tolak rezeki?

Walau apa pun reaksi pemandu bas itu, jadikanlah amalan baik seperti mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas satu amalan yang baik kerana tugas mereka sebenarnya bukanlah mudah seperti yang kita sangkakan.

Diari 13: Bas dan Pelajar UPSI


Seperti hari-hari biasa, pelajar UPSI akan sentiasa mengejar bas untuk ke kelas masing-masing. Di sini semangat juang yang tinggi akan kelihatan dengan jelas sekali sebaik sahaja pintu bas terbuka. Masing-masing berhimpit-himpit, beresak-esakan untuk mendapatkan tempat di dalam bas yang dilengkapi dengan penghawa dingin. Setelah berjaya mendapatkan tempat, berjuang pula untuk keluar dahulu sambil membelakangkan orang-orang yang letih berdiri sepanjang perjalanan. Tanpa mengucapkan terima kasih  apabila dberi ruang dan peluang keluar dahulu dan tanpa mengucapkan maaf apabila memotong barisan pelajar yang sedang berdiri sepanjang perjalanan. Adakah ini sesuatu yang wajar dicontohi? Perkara sedemikian sudah semakin lazim dalam kalangan pelajar UPSI. Sekurang-kurangnya dahulukanlah pelajar-pelajar yang penat berdiri untuk melangkah keluar dahulu sebelum kita yang senang-lenang duduk di bawah penghawa dingin bas melangkah. Bersikap matanglah kerana kita bukan lagi kanak-kanak yang perlu diajar tentang adab tatatertib.